KUALA LUMPUR — Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas bapanya secara tidak sengaja terlanggar mangsa ketika mengalihkan kenderaan pacuan empat roda di rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor di Kampung Raja, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, bapa mangsa sedang mengalihkan kenderaannya selepas selesai mencuci di halaman rumah mereka.
Lelaki itu, katanya, tidak menyedari anaknya yang sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah bergerak menuju ke arah kereta yang dialihkan itu lalu terlanggarnya.
“Bapa mangsa membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Gong Medang namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi tadi,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes itu, kata Abdul Rozak disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 29 Mei, 2024