KUALA LUMPUR – “Kami dapat duit pampasan sebanyak RM1,000 pada Jumaat, tapi Isnin dah kena pindah, tak sempat nak bersedia,’’ kata salah seorang penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak, Rohayati Ab Rahman.
Rohayati, 53, meluahkan demikian kepada Scoop selepas berasa sedih kerana terpaksa berpindah dari kampung berkenaan. Dia turut pengsan kerana terlalu kecewa.
Menurut Rohayati, dia sebelum ini ditawarkan penempatan di Rumah Selangorku Seri Temenggung, namun disebabkan pinjaman belum diluluskan dia berharap agar diberikan masa.
“Dia bagi duit pada hari Jumaat, belum keluar lagi, masih dalam bank. Dah orang bagi kita ambillah.
“Barang-barang semua ada dalam kereta,’’ katanya yang memaklumkan akan menetap bersama anaknya untuk sementara waktu.
Pengusiran penduduk di Kampung Sri Makmur, Gombak dilakukan hari ini sejak pagi tadi.
Mereka yang menetap di atas tanah milik PKNS dan pengusiran itu adalah bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium.
Pada 4 Mei lalu, penduduk Kampung Sri Makmur sepakat menghantar memorandum bagi menagih ‘janji’ Menteri Besar pada November tahun lalu untuk memberikan pampasan perpindahan sebelum rumah mereka dirobohkan.

Terdahulu melalui satu surat bertarikh 24 April lalu, permohonan 10 daripada 24 keluarga ditolak atas sebab ketiadaan bukti bahawa mereka menetap di Kampung Sri Makmur sejak 2006.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Zakariah Muhammad, 60, seorang pengawal keselamatan menyifatkan pengusiran itu sebagai zalim.
“Kenapa zalim? Kerana dapat hari Jumaat, tiga hari kemudian roboh. Apa yang boleh dapat dengan RM1,000. Tak boleh nak buat apa lagi, (duit) masih dalam bank,’’ katanya.

Ditanya sama ada Zakariah akan berasa rindu dengan kampung itu kelak, dia berkata memang akan merasakannya kerana sudah lama menetap di situ.
“Saya duduk lama, saya kira 50% rindu tempat ni, yang lain lagi rindu sebab tak dapat apa-apa (pampasan),” katanya.
Dalam pada itu, pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa berkata, penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal akan menumpang di surau untuk sementara waktu.
Noora juga tidak mengetahui mengenai perancangan penduduk terbabit selepas diusir dari situ. – 27 Mei, 2024