KUALA LUMPUR – Semua pemberita sambilan atau ‘stringer’ yang berdaftar dengan pelbagai organisasi media di seluruh negara akan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selama setahun mulai 1 Julai ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika mengumumkannya pada acara kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Kuching hari ini berkata, berdasarkan data Jabatan Penerangan, 565 pengamal media yang berdaftar adalah bertaraf sambilan.
Daripada jumlah itu, katanya, Perkeso mengesahkan 538 pengamal media sambilan tiada caruman Perkeso, namun layak didaftarkan.
“Maka dengan ini, sukacita saya umumkan, bermula 1 Julai ini, Kementerian Komunikasi melalui Bernama akan menampung caruman Perkeso untuk kesemua pengamal media dalam kategori tersebut bagi tempoh satu tahun.
“Ini bermaksud, untuk tahun pertama caruman, ianya ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi melalui Bernama,” katanya.
Bagi menghargai pengorbanan petugas media, Fahmi turut mengumumkan pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar yang dinamakan Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media yang akan dilaksanakan untuk tahun kedua pada Ogos ini.
Insentif itu adalah rebat sekali sebulan untuk pengamal media dengan pelan pasca bayar dan pemegang kad perakuan media dikeluarkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Fahmi juga menggesa organisasi media berdaftar yang masih belum melanggan kadar korporat ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) supaya berhubung dengan pengendali MNO untuk menikmati kadar itu mulai 1 Julai ini.
Sementara itu, mengakui cabaran kewangan yang dihadapi oleh organisasi berita, Fahmi berkata, beliau akan bertemu platform media sosial bulan depan berhubung isu pendapatan pengiklanan dalam talian.
Beliau berkata, dengan percambahan platform media sosial, organisasi berita kehilangan pendapatan pengiklanan mereka kepada platform ini.
Tambah Fahmi, Kementerian Komunikasi kini di peringkat akhir merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) yang berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.
“Kerajaan kini dalam proses menyediakan Analisis Impak Draf Rang Undang-undang (RUU) MMC kepada industri media sebelum dibentangkan di Parlimen, Oktober ini,’’ katanya. – 27 Mei, 2024