KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan dua individu bermotosikal dalam kejadian di lampu isyarat persimpangan Jalan Ashman Shah, di Ipoh, awal pagi tadi, sudah ditahan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan pukul 1.15 pagi itu berlaku apabila pemandu berusia 44 tahun tersebut melanggar motosikal dinaiki dua mangsa menyebabkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.
Menurutnya, pemandu terbabit turut melanggar lagi sebuah kenderaan lain ketika mengundurkan kenderaannya sebelum dia membuat pusingan ‘U’ dan masuk ke Jalan Kamaruddin Isa.
“Pemandu MPV terbabit hilang kawalan selepas melanggar penghadang batu di Jalan Sybil Kathigasu.
“Akibat kemalangan itu, penunggang serta pembonceng motosikal berusia 27 tahun dan 32 tahun cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata, hasil ujian pernafasan mendapati kadar alkohol dalam badan pemandu MPV terbabit melebihi had ditetapkan.
Malah katanya, semakan rekod pemandu mendapati lelaki itu turut mempunyai 20 rekod saman trafik termasuk empat kesalahan kemalangan.
“Pemandu MPV terbabit serta pemandu kereta yang dilanggarnya tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua individu cedera yang menaiki motosikal dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta saksi kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – 26 Mei, 2024