KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh baru-baru ini, disifatkan sebagai pendirian terhormat yang gagal dibuat pemimpin muslim lain.
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tindakan Anwar itu juga merentasi kepentingan politik diri beliau.
“Apa dilakukan Perdana Menteri Malaysia ini merentasi kepentingan politik dirinya.
“Satu pendirian terhormat yang gagal untuk diambil pemimpin muslim lain,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut mendoakan Anwar diberi kekuatan untuk terus melaksanakan usahanya.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada beliau (Anwar) dan mengukuhkan langkah-langkah beliau,” katanya.

Terdahulu, tindakan Anwar bertemu Ismail ketika beliau berada di Qatar pertengahan Mei, mencetuskan perdebatan, malah dikatakan tidak adil, memandangkan Hamas dianggap Israel, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sebagai pertubuhan pengganas.
Dalam pertemuan itu, Anwar dilaporkan menyatakan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri dalam kenyataannya pada sesi soal jawab di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo beberapa hari lalu, mempertahankan tindakannya bertemu Ismail.
Menurutnya, beliau dan Ismail sudah bersahabat sejak beberapa dekad, justeru tiada alasan mengapa mereka tidak boleh bertemu. – 25 Mei, 2024