Saluran 24 jam Malaysia4Palestin bukti Malaysia konsisten sokong Palestin

Saluran sementara yang disiarkan oleh RTM dan Astro itu diharap dapat membuka mata banyak pihak khususnya negara yang masih enggan menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin

1:24 PM MYT

 

KUCHING – Penyediaan saluran sementara Malaysia4Palestine yang bersiaran selama 24 jam, menunjukkan pendirian Malaysia yang konsisten serta jelas dalam memberi sokongan kepada rakyat Palestin yang ditindas oleh Israel, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, menerusi siaran berkenaan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro, ia diharap dapat membuka mata lebih banyak pihak khususnya negara yang masih enggan menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin, yang sejak sekian lama menjadi mangsa keganasan rejim zionis Israel.

“Usaha 24 jam siaran Malaysia4Palestine ini saya terima dengan baik, ia satu usaha yang cukup murni. Jadi saya lihat kita perlu terus memberi sokongan, menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin terutama di saat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 Bersama Siswa, di sini hari ini.

Semalam Astro dan RTM dalam kenyataan memaklumkan bahawa stesen televisyen berkenaan menyediakan saluran sementara Malaysia4Palestine selama 24 jam, yang didedikasi untuk mengetengahkan krisis kemanusiaan di Palestin.

Astro dan RTM dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa stesen televisyen berkenaan menyediakan saluran sementara Malaysia4Palestine selama 24 jam, yang didedikasi untuk mengetengahkan krisis kemanusiaan di Palestin. – Gambar Astro, 22 Mei, 2024

Saluran Malaysia4Palestine akan menampilkan temu bual, persembahan khas dan dokumentari, dalam mengetengahkan nasib rakyat Palestin.

Program Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa merupakan antara pengisian sambutan Hawana tahun ini, dengan penglibatan 250 mahasiswa dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Swinburne University of Technology Sarawak dan Kolej SEGi Sarawak.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi terpilih tentang dunia media, melalui sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pengamal media, selain menanam minat bidang kewartawanan kepada pelajar dan mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan.

Pada program hari ini, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman turut diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Sakina Mohamed dan Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama, Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman, selain sesi dialog bersama Menteri Komunikasi. – 25 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related