KUALA LUMPUR – Penyokong kempen #Blockout 2024 yang digerakkan untuk memboikot selebriti di media sosial ketika ini menerima teguran penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin.
Menurutnya, niat untuk menzahirkan sokongan dan keprihatinan terhadap kesengsaraan yang sedang berlaku di Gaza adalah sangat dialu-alukan.
Namun, katanya, adalah keterlaluan jika penyokong terbabit tidak menjaga adab dan meninggalkan komen berbaur ugutan serta maki hamun dalam laman sosial selebriti.
“Apapun kena beradablah. Sebab itu, saya pentingkan sangat apa-apa yang kita nak tegur biarlah cara beradab. Itu yang diajar dalam agama Islam.
“Kita nak marah ke, kita nak apa ke, pastikan jangan sampai ia menjatuhkan air muka ataupun memalukan,” katanya seperti dilaporkan media, hari ini.
Terdahulu, sebuah gerakan untuk menghentikan sokongan terhadap hampir 100 selebriti terkenal dunia, iaitu #Blockout2024 dilancarkan selepas berakhirnya acara pertunjukan fesyen tahunan, Met Gala pada 6 Mei lalu.
Gerakan #Blockout2024 turut menular di Malaysia sehingga ada segelintir netizen yang giat berkempen untuk memboikot sejumlah selebriti tempatan yang dilihat masih terus berkerjasama dengan jenama atau produk berkaitan rangkaian bisnes Israel.
Antara nama selebriti tempatan tersenarai dalam gerakan tersebut termasuklah Mira Filzah, Daiyan Trisha, Neelofa, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Anna Jobling, Meerqeen, Datin Intan Najuwa, Sheila Rusly, Eyka Farhana, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Nabila Razali, Janna Nick dan Ruhainies.
Bagaimanapun, objektif atau misi gerakan itu semakin tersasar apabila netizen bertindak keterlaluan apabila mengeluarkan perkataan kesat, maki hamun dan ugutan bunuh bukan sahaja kepada selebriti, malah anggota keluarga mereka.
Sebelum ini Scoop melaporkan, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi meminta netizen bersikap rasional dan tidak mudah menjatuhkan hukuman kepada selebriti tanah air yang namanya berada dalam senarai gerakan #Blockout 2024 seperti yang tular.
Malah beliau turut menggesa artis dan selebriti Malaysia yang terkesan dalam senarai diboikot menerusi kempen #Blockout2024 di media sosial supaya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Tegasnya, tindakan pihak yang menyenaraikan nama artis tertentu supaya diboikot dibimbangi hanya meningkatkan kebencian yang boleh mengundang perkara tidak baik.
“Sebab kita tak nak bila diboikot ini mereka rasa diri terancam dan bimbang soal keselamatan mereka, kita juga tidak mahu ada kes artis pula yang disimbah asid seperti berlaku dalam kes pemain bola sepak.
“Sebab perkara seperti ini boleh berlaku, kadangkala kita terlalu cepat buat kesimpulan, hanya kerana seseorang artis itu tidak tunjuk atau kerap memuat naik hantaran sokongan kepada Palestin di media sosial, kita ‘pukul rata’ kata artis ini tidak sokong Palestin.
“Takkanlah setiap artis tu perlu maklum setiap kali dia beri sumbangan atau beri sokongan, dia perlu uar-uarkannya setiap masa di media sosial, ada yang memilih untuk tidak menonjolkan diri mereka,” katanya. – 24 Mei, 2024