KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff, meninggal dunia pada jam 1.38 tengah hari tadi di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Perkara itu dimaklumkan PAS Pulau Pinang dalam kenyataan ringkas di laman Facebook.
Menurutnya, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan dan dikebumikan pada jam 6 petang ini di Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal.
Sebelum ini media melaporkan, Nor Zamri, yang lebih dikenali sebagai YB Abang Zam, 56, terpaksa ditidurkan selepas ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya ekoran mengalami komplikasi di bahagian perut.
Allahyarham dilaporkan mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta mengadu sakit perut tiga hari lepas sebelum dihantar ke hospital pada 1 Mei.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, beliau yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menang ke atas calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi. – 24 Mei, 2024