KUALA LUMPUR – Cef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 65, berdepan kritikan susulan komennya terhadap aktres Aishwarya Rai apabila beliau mengaitkan penampilan bintang Bollywood berkenaan dengan kavadi, yang dibawa semasa Thaipusam.
“Dia membawa kavadi sendiri menuju ke perayaan Thaipusam Batu Cave,’’ demikian tulis Chef Wan di dalam Instagram Namaste Bollywood yang memaparkan klip video Aishwarya ketika menghadiri acara karpet merah pada Festival Filem Cannes 2024 pada 15 Mei lalu.
Dalam acara karpet merah itu, Aishwarya mengenakan gaun ala burung merak bewarna biru dan kelabu yang bergemerlapan. Penampilan aktres berusia 50 tahun itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Komen tersebut dibuat pada Selasa lalu, namun baru dibangkitkan oleh netizen baru-baru ini.
Susulan komen oleh Chef Wan itu, ramai yang mengkritiknya walaupun ia sekadar satu gurauan namun dianggap sebagai sensitif, malah ada yang tidak sangka gurauan seumpama itu datangnya daripada beliau.
“Dengan segala hormat Datuk, saya tidak rasa ia sesuatu yang bagus untuk diperkatakan. Saya memahami anda tidak boleh memahami apa yang dipakainya tetapi tuan, tolong jangan kaitkannya dengan upacara keagamaan dan mengejeknya. Tidak menyangka ia dari anda,’’ kata Sreeganeshnair.
“Saya tidak jangka ia dari anda. Mengejek agama lain,’’ kata Itsdevhere03.
Ada yang juga yang menyoal beliau bahagian mana yang dilihat sebagai melucukan kerana kavadi adalah pengorbanan kepada Tuhan dan sebagai rakyat Malaysia, mereka mempersoalkan sama ada beliau menyedari mengenai perkara itu.
Kavadi dalam bahasa Tamil bermaksud beban yang dipikul di bahu dan merupakan satu daripada persembahan yang dibuat kepada Dewa Murugan.

Tidak kurang pula yang mahu Chef Wan memohon maaf dan memadamkan komen tersebut.
“Biar betul you are the one commenting this, .comment x bertempat.mocking Thaipusam? sempat lagi yang lain siap comment gelak lagi,’’ kata netizen yang lain.
Sehingga laporan ini ditulis, Chef Wan masih belum memadamkan komen tersebut dan memohon maaf. – 24 Mei, 2024