UiTM dilabel Akademi Aparteid: Putra lapor polis, gesa siasatan ke atas artikel Andrew

Shahrulufti berkata, intervensi dan tindakan sewajarnya perlu diambil pihak berkuasa untuk menangani isu terbabit

11:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kolumnis, Andrew Sia berdepan laporan polis pertama berhubung satu penulisan artikelnya yang didakwa melabelkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai Akademi Aparteid, selepas ia dibuat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini.

Menurut Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 4 petang ini atas alasan artikel disiarkan Malaysiakini terbabit, memfitnah UiTM dengan tidak adil yang boleh mencetus kemarahan orang Melayu, selepas Andrew menuduh universiti awam (UA) berkenaan mengamal dasar apartheid.

“UiTM ditubuhkan dengan tujuan memberi peluang pendidikan kepada bumiputera, bukan untuk melaksanakan diskriminasi, tetapi perbandingan dibuat dalam artikel terbabit merendahkan usaha dan integriti universiti ini,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan UiTM berlandaskan pematuhan kepada undang-undang, perlembagaan dan panduan kerajaan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada individu Bumiputera.

“UiTM berperanan penting dalam mengekalkan keseimbangan sosial dalam masyarakat Malaysia dengan menyokong pendidikan pelajar Bumiputera.

“Prinsip asas UiTM adalah memberdayakan individu Bumiputera melalui pendidikan, bukan atas belaian mana-mana kumpulan tertentu,” katanya.

Justeru, Shahrulufti berkata, menerusi laporan polis itu, Putra memohon siasatan menyeluruh terhadap artikel Andrew yang memfitnah UiTM.

Ujarnya, intervensi dan tindakan sewajarnya perlu diambil pihak berkuasa untuk menangani isu terbabit.

Shahrulufti berkata, Putra juga meminta supaya polis memastikan keadilan dan kesamarataan dalam menangani tuduhan tanpa asas terhadap UiTM.

“Saya berharap tindakan segera diambil untuk menjaga reputasi UiTM, menghormati sejarah dan niat mulia penubuhannya serta memastikan kebenaran dan keadilan dalam perkara ini,” katanya.

Semalam, Malaysiakini menerbitkan artikel tulisan Andrew bertajuk ‘Our apartheid academy, UiTM’ yang turut mempersoalkan adakah UiTM harus dinamakan semula sebagai ‘Universiti Tempat Melayu’.

Aparteid dikatakan sebagai dasar segregasi kaum yang begitu zalim, iaitu memuliakan kaum orang putih berbanding kulit hitam di Afrika Selatan.

Penulisannya mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendesak Malaysiakini menurunkan artikel itu segera, manakala Andrew membuat permohonan maaf.

Dr Akmal juga memaklumkan, seluruh anggota Pemuda Umno akan membuat laporan polis terhadap Malaysiakini dan Andrew berhubung penerbitan itu.

Manakala, Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata, Malaysia mempunyai jumlah institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk UA mencukupi untuk semua kaum.

Justeru, katanya, polemik cuba dicetuskan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dengan melabelkan UiTM sebagai ‘akademi aparteid’, adalah tidak perlu.

Veteran Umno pula menyifatkan penulisan Andrew mengenai UiTM itu sebagai bodoh dan jahil mengenai sejarah pendidikan negara.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, artikel ditulis itu lebih berunsur hasutan dan dikategorikan menyentuh 3R (kaum, agama, raja). – 23 Mei, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related