KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang pembantu pergigian dan ejen hartanah mengaku bersalah di Mahkamah Bentong, Pahang hari ini atas pertuduhan mendatangkan bahaya kepada orang lain.
Majistret Nadhratun Naeiem Zainan mengarahkan kesemua tertuduh membayar denda RM500.
Kesemua mereka dituduh bersama-sama mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh iaitu Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran Ji, 24; Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24; Nur Anis Salleh, 24; dan Nur Azira Azman, 23, didakwa memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak di Taman Cendawan, Genting Highlands pada 12 Mei lalu sehingga boleh membahayakan keselamatan diri orang lain.
Pendakwaan dijalankan Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, 15 individu termasuk lima wanita berusia 23 hingga 28 tahun ditahan selepas hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, kelmarin.
Bagaimanapun katanya, mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan selesai dirakamkan.
Sebelum ini, Scoop melaporkan mengenai tindakan sekumpulan individu yang memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands sehingga mengundang kemarahan ramai.
Ia bukan sahaja mengancam keselamatan ramai malah melanggar prosedur operasi standard (SOP) di stesen minyak. – 21 Mei, 2024