Warga Israel mohon bicara tuduhan pinda perdagang 6 pistol, peluru

Pertuduhan pindaan itu membabitkan tambahan kepada jumlah peluru iaitu daripada 158 peluru kepada 200 peluru dan pindaan kepada nombor siri pistol jenis Glock dan Stoeger Cougar

10:59 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Israel, Avitan Shalom mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan pindaan memperdagangkan enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel di ibu negara pada Mac lalu.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan tambahan kepada jumlah peluru iaitu daripada 158 peluru kepada 200 peluru dan pindaan kepada nombor siri pistol jenis Glock dan Stoeger Cougar.

Kedua-dua pertuduhan pindaan itu dibacakan kepada Shalom di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin pada prosiding sebutan kes itu, dan lelaki yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis terbabit mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan.

Pada 27 Mac lalu, Shalom ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menggunakan pasport Perancis, disyaki merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan soal siasat ke atasnya, polis memberkas sepasang suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac.

Mereka disyaki menjual enam senjata api kepada lelaki Israel itu. Polis turut menemukan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.

Dalam pada itu, Norina menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini untuk perbicaraan kes tersebut.

“Mahkamah menetapkan 30 September, 1 hingga 3 Oktober dan 7 hingga 10 Oktober sebagai tarikh perbicaraan serta 28 Jun ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.

Sebutan kes hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Shafiq Hasim dan Fazeedah Faik dan peguam Navinjit Singh, mewakili Avitan, 38.

Ketika ditanya Norina, Mohamad Mustaffa memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil seramai 20 orang saksi termasuk pegawai rampasan dan pernyataan saksi akan disediakan. – 21 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related