KUALA LUMPUR – Seorang pramugari syarikat penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines), Norzana Hanim Hamzah meninggal dunia ketika sedang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo.
Menurut Facebook yang didedikasikan untuk kru kabin, A Fly Guy’s Cabin Crew Lounge, kejadian itu dilaporkan berlaku pagi tadi.
“Punca kematian masih belum dipastikan, namun laporan yang belum disahkan daripada komuniti kru MH menyatakan dia mungkin terjatuh ketika bersiap untuk penerbangan pulang,’’ kata Facebook terbabit.
Dalam pada itu, Malaysia Airlines mengesahkan seorang pramugarinya meninggal dunia ketika sedang transit di Tokyo, Jepun.
Dalam satu kenyataan, Malaysia Airlines, berkata, anak kapal kabinnya itu dikenali sebagai Norzana Hanim Hamzah, seperti dipetik dari Buletin TV3.
Syarikat penerbangan itu berkata, Norzana sedang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo dan dijadual mengendalikan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.
“Syarikat penerbangan sudah berhubung dengan keluarga Norzana dan akan memberi sokongan kepada mereka dalam masa yang sukar ini,’’ katanya.
Sementara itu, bekas rakan-rakan sekerja Norzana merakamkan kesedihan menerusi hantaran di media sosial.
Salah seorang adalah Oza Emir, yang mendoakan supaya urusan membawa pulang jenazah arwah akan dipermudahkan.
“Pemergian mengejut seorang bekas rakan sekerja waktu di MAS. Moga Allah menerima segala amal ibadatnya dan muliakan kematiannya serta memudahkan urusan membawa pulang jenazahnya. Alfatihah buat Norzana Hanim Hamzah,’’ katanya. – 20 Mei, 2024