KUALA LUMPUR – Selain terlibat dengan organisasi kumpulan pengganas, terdapat pelbagai kemungkinan lain yang membuatkan seseorang individu cenderung melakukan keganasan sehingga bertindak di luar norma sehingga menyebabkan kematian orang lain.
Bercakap kepada Scoop, Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Ahmad Rostam Md Zin berkata, selain daripada impak idea keganasan melampau yang mungkin dipelajari menerusi organisasi tertentu, kecenderungan bertindak ganas boleh disebabkan pengaruh dadah.
Dari sudut lain katanya, ia juga disebabkan oleh penyalahgunaan alkohol.

Namun begitu dalam kebanyakan kes, perbuatan ganas banyak dipengaruhi apabila seseorang itu berada dalam keadaan kesihatan mental yang kurang baik seperti pengaruh gejala halusinasi tertentu jika tidak mendapat rawatan yang sebetulnya.
“Selain daripada impak indoktrinasi idea keganasan melampau, kecenderungan ganas seseorang individu boleh juga diakibatkan oleh pelbagai faktor lain.
“Antaranya seperti kegagalan fungsi eksekutif otak diakibatkan oleh kecederaan atau masalah perubatan lain turut menyumbang, yang mana sifat keganasan mereka tidak terancang dan serta tidak disedari oleh individu itu sendiri.
“Pengaruh gejala delusi atau halusinasi tertentu yang dibiarkan tidak dirawat (juga boleh menyumbang kepada perlakuan ganas),” katanya.
Menurut beliau, perlakuan ganas sering dilakukan individu yang terlibat dalam kesalahan jenayah, contohnya pemerasan, perampasan atau dalam keadaan terdesak seperti ingin menyembunyikan bukti atau sebagainya.
Terdahulu, Scoop melaporkan dua anggota polis terkorban selepas diserang suspek yang menggunakan parang dan pistol di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lalu.
Insiden pada kira-kira jam 2.30 pagi itu membabitkan suspek yang bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang, sebelum turut mati ditembak.

Dua anggota terkorban yang meninggal dunia di tempat kejadian berkenaan adalah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, iaitu anggota prowler di balai polis berkenaan.
Ahmad Azza Fahmi ditetak di belakang leher dan kepala manakala Muhamad Syafiq ditembak di perut dan lengan.
Mangsa cedera adalah anggota Unit Cegah Jenayah (RCJ), Koperal Mohd Hasif Roslan yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HIS), Johor akibat ditetak di bahu serta pinggul kiri dan dilaporkan stabil.
Setakat ini, lima individu berusia dari 19 hingga 62 tahun yang terdiri daripada ahli keluarga suspek dan dua orang awam ditahan. – 19 Mei, 2024