Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

2:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penyanyi dan penghibur, Ning Baizura mengakui hatinya tersentuh serta terguris dengan kecaman dilemparkan netizen, selepas beliau dituduh tidak cakna mengenai frasa ‘All eyes on Rafah’ melalui sesi live di Instagram, Selasa lalu.

Bercakap secara eksklusif kepada Scoop, Ning berkata, sebagai manusia beliau juga mempunyai hati serta perasaan dan apa yang lebih mengguris hatinya, tatkala netizen mengaitkan keluarganya dalam perkara itu.

“Mereka bukan setakat kritik keluarga dan suami saya tetapi juga mengatakan saya Kristian. Bagi saya, tak masuk akallah benda ni.

“Dari satu perkara kecil, ia diperbesarkan. Mungkin, inilah dunia tular daripada netizen walaupun tidak semua netizen begitu.

“Namun tindakan menyerang secara provakatif (trolling) di IG (Instagram) saya adalah perkara tidak sihat untuk ibu dan anak saya,” katanya.

Atas sebab itu, kata Ning, tidak salah jika beliau menyekat segelintir netizen yang melakukan perkara terbabit di akaun Instagram miliknya.

“Lagipun ia IG saya. Ia juga tidak sihat untuk diri saya dan kesihatan mental saya.

“Saya tidak tahu di mana asas mereka mencari bahan atau cerita, tanpa mengetahui intipati sebenar daripada kedua-dua pihak (pihaknya dan apa yang tular). Mudah bagi mereka post dan repost tanpa menyiasat serta menyelidik terlebih dahulu.

“Kebanyakan yang memberikan komen berbentuk kecaman ini, bukanlah peminat saya kerana akaun mereka tidak mempunyai wajah dan ada pula akaun mereka diset privasi.

“Kalau anda berani berkata-kata, tunjukkanlah wajah anda kerana saya tidak ada apa-apa untuk disembunyikan,” katanya lagi.

Jelas Ning, pada sesi live Instagram dilakukannya itu, beliau langsung tidak mempromosikan produk atau jenama berkaitan Israel, bahkan tidak bercakap mengenai isu yang bersifat politikal.

Ning juga menjelaskan, pada sesi live Instagram dilakukannya itu, beliau langsung tidak mempromosikan produk atau jenama berkaitan Israel, bahkan tidak bercakap mengenai isu yang bersifat politikal – Halim Salleh/Scoop, 18 Mei, 2024

“Saya cuma mengadakan sesi live karaoke bersama Ning. Sesi itu dinamakan Ning Oke Session yang mana peminat boleh menghantar permintaan lagu untuk saya nyanyikan.

“Ia hanya mengenai perjalanan kerjaya seni saya bersama peminat kerana saya seorang penyanyi dan rezeki saya dalam bidang nyanyian, lakonan dan mengajar.

“Mungkin ramai tidak faham perjalanan kerjaya seni selama 30 tahun, tidak apalah. Tetapi, apa yang berlaku adalah di luar konteks daripada kejadian sebenar.

“Saya dikecam dan dihukum tanpa mereka mengetahui keadaan sebenar dan kenapa kita harus menghukum sebegitu untuk perkara begitu kecil?” katanya.

Mengulas lanjut, Ning mengakui beliau mengeluarkan kenyataan itu tetapi ia adalah persoalan mengenai ‘siapa’ dan bukan ‘apa’ yang mempunyai perbezaan antara kedua-duanya.

“Pada situasi dan momen kelam-kabut untuk mengadakan sesi live karaoke di IG yang mana saya perlu mencari muzik karaoke, menyanyi, menjadi moderator, memasang lampu dan sebagainya seorang diri, pertanyaan itu terkeluar tanpa saya sedari.

“Mudah untuk orang menghakimi dengan dengan satu klik, post dan repost. Ia memang sesuatu yang tidak sihat kepada kita hamba Allah.

“Tapi, usahlah jadi hamba internet hanya untuk menegakkan sesuatu yang diambil dari luar konteks kejadian,” katanya.

Tambah Ning, sepanjang menjadi anak seni, beliau lali berdepan kontroversi, tetapi tidak bagi keluarganya yang cukup terkesan dan beremosi dengan perkara itu.

“Banyak emosi dialami keluarga saya dan mereka memang sangat terkesan, sehingga saya perlu jelaskan untuk mereka faham apa berlaku. Ia memang situasi sukar,” luahnya. -18 Mei, 2024

Topics

 

Popular

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related