KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Labuan dari Bersatu, Datuk Suhaili Abdul Rahman kekal dengan pendirian menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mengesahkan belum menerima sebarang surat yang dikatakan mengandungi ‘arahan khusus’ daripada parti Bersatu.
“Belum terima apa-apa pun, saya dah periksa emel pun tidak ada lagi. Nak saya beritahu apa isi kandungan surat itu pun tidak boleh sebab belum terima.
“Saya akan maklum sebaik terima nanti, nak tahu juga apa arahan itu, tapi apa pun sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri tak berubah,” katanya kepada Scoop hari ini.
Bersatu hari ini memaklumkan sudah menghantar surat mengandungi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (Adun) parti itu termasuk tujuh wakil rakyat yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan itu, diminta menjawabnya dalam masa 14 hari.
Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Manakala Adun Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – 17 Mei , 2024