KUALA LUMPUR – Kes kemalangan membabitkan beberapa kenderaan yang terbabas di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam, disahkan berpunca daripada tumpahan diesel di laluan itu yang menyebabkan permukaan jalan licin.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, lokasi kemalangan itu adalah jalan sehala berselekoh dan mempunyai tiga lorong.
Katanya, terdapat kesan tumpahan bahan bakar berkenaan di lorong paling kanan.
“Hingga kini, hanya pemilik sebuah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu, hadir membuat laporan mengenainya di Balai Polis Trafik Klang Selatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu hanya membabitkan kerosakan kenderaan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Ujarnya, tumpahan minyak itu sudah dibersihkan pihak penyelenggaraan jalan dan laluan berkenaan selamat digunakan.
Hoong Fong berkata, orang ramai dinasihat agar lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan, terutama di malam hari.

“Patuhi segala peraturan dan undang-undang lalu lintas ditetapkan, bagi mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda,” katanya.
Tegasnya, kes itu disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dengan pegawai penyiasatnya adalah Sarjan Tuan Mohd Nazri Tuan Lah.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini, diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik bagi membantu siasatan polis.
“Siasatan juga dijalankan dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur khianat dilakukan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, tular satu klip video memaparkan kemalangan dari arah Bukit Tinggi menghala ke Bulatan Simpang Lima, Klang.
Kemalangan itu menyaksikan beberapa kereta terbabas yang dikatakan berpunca daripada permukaan jalan licin akibat tumpahan diesel,” katanya. – 16 Mei, 2024