KUALA LUMPUR – Atlet kayak, Siti Nurul Masyitah Md Elias, 22, mengalami kecederaan parah dipercayai dilanggar pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey di Johor Bahru, Sabtu lalu.
Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di Johor Bahru menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, mangsa merupakan pelajar jurusan terbabit dan sedang dirawat di Hospital Columbia kerana kecederaan parah dialaminya.
“Mohon doakan agar dipermudahkan segala urusan mangsa dan diberikan kesembuhan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam hantaran itu juga, Siti Nurul Masyitah dikatakan sering berulang-alik dari PSI ke rumah untuk menjaga ibu yang mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan, manakala bapanya pula perlu menjalani rawatan dialisis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian tersebut.
Pelajar semester enam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) itu merupakan salah seorang atlet kayak dan Perahu Naga Malaysia yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2023.
Terdahulu, kejadian yang dipercayai berlaku pada Sabtu lalu itu turut tular di media sosial dengan beberapa rakaman video dan gambar yang memaparkan kejadian kemalangan membabitkan atlet tersebut yang menunggang motosikal dengan sebuah kereta.
Menurut saksi dan rakaman, sebuah kereta yang disyaki dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang telah melanggar mangsa dan mengheretnya sejauh lebih kurang 600 meter. – 15 Mei, 2024