Kes pelajar maut dilanggar: Perbicaraan ke atas pegawai kanan polis bermula November

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan

10:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 30 hari bermula November ini untuk perbicaraan ke atas pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh seorang pelajar berusia 17 tahun, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, tahun lepas.

Tarikh perbicaraan ke atas tertuduh, yang berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) itu ditetapkan pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.

Ia ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet. Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas selepas tertuduh didakwa melanggar Muhammad Zaharif dengan menggunakan keretanya sehingga mengakibatkan kematian mangsa.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, di Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember lalu.

Kesalahan itu memperuntuk hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Tertuduh bertugas sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Peguam Jacky Loi Yap Loong yang dibantu Lim Chi Chau dan M. Kuhan memaklumkan pihaknya memfailkan notis berhubung permohonan jaminan terhadap anak guamnya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya tidak menerima afidavit berhubung notis terbabit.

Hakim Bhupindar Singh mengarahkan kedua-dua pihak menyelesaikan pertukaran afidavit sebelum beliau membuat keputusan berhubung permohonan jaminan.

Turut hadir, peguam pemerhati bagi keluarga mangsa iaitu Yasmin Khalid dan Amira Najwafitri Amir Arif.

Pada 18 Dis 2023, Mohd Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. – 14 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

SPRM mula siasat projek 1BestariNet

SPRM telah menggeledah pejabat dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) yang terletak di Kuala Lumpur, hari ini

PAS too conservative, lacking in economic experience to lead Penang: observers

The Perikatan Nasional component also lacks professional representation and multiracial understanding to manage a diverse economy

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related