PRK KKB: Alami masalah kesihatan, Rosli guna kerusi roda elektrik dari rumah ke pusat mengundi

Jarak dari rumahnya ke pusat mengundi itu sejauh 500 meter dan Rosli yang mengalami masalah kesihatan serta hampir diserang strok beberapa minggu lalu hadir seorang diri tanpa memerlukan bantuan keluarga

9:33 AM MYT

 

KUALA KUBU BAHARU – Menjadi pengundi pertama tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baharu Batang Kali, dekat sini, Rosli Sarif, 75, mendapat perhatian ramai apabila hadir menggunakan kerusi roda elektrik.

Jarak dari rumahnya ke pusat mengundi itu sejauh 500 meter dan Rosli yang mengalami masalah kesihatan serta hampir diserang strok beberapa minggu lalu hadir seorang diri tanpa memerlukan bantuan keluarga.

Rosli Sarif sempat melambaikan tangan kepada petugas media selepas selesai menunaikan kewajipan mengundi sempena PRK DUN Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini. – Gambar Riduan Rizal Ahmad/Scoop, 11 Mei, 2024

“Mudah sahaja dengan guna kerusi roda elektrik ini, rumah pula dekat jadi saya keluar awal, bergerak perlahan-lahan dan berhati-hati. Jadi tak perlu susahkan ahli keluarga lain.

“Saya memang suka datang awal supaya urusan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi lebih mudah,” katanya.

Rosli yang tinggal di Bandar Utama Batang Kali mengalami sakit buah pinggang berpunca daripada batu karang sejak enam tahun lalu.

“Bukan tidak mahu datang bersama isteri, tetapi dia juga sakit dan berada di hospital,” katanya.

Dia yang sudah lebih 10 kali mengundi sejak usia 21 tahun menasihatkan pengundi lain terutama pengundi muda untuk datang awal menunaikan tanggungjawab.

“Itu sokongan kita kepada negara, satu kepentingan kepada negara. Kepada anak muda, pengundi muda buat pilihan sebaik-baiknya kerana ini juga demi masa depan mereka,” katanya.

Pusat pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu mula dibuka jam 8 pagi dan akan ditutup jam 6 petang ini.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu.

Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – 11 Mei, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

Related