KUALA LUMPUR – Tiada calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu akan mengundi esok termasuk calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, memandangkan mereka merupakan pengundi luar.
Difahamkan Khairul merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) lain, bukan di kawasan KKB.
Namun berdasarkan biodata Khairul, kampung keluarganya adalah di Felda Sungai Tengi, KKB.
Malah ketika Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan calon untuk bertanding pada PRK itu, beliau menyatakan bahawa Khairul adalah anak tempatan.
“Dengan ini saya umumkan keputusan majlis tertinggi PN calon yang bertanding di KKB adalah Khairul Azhari Saut.
“Kalau kamu nak anak tempatan inilah anak tempatan,” katanya ketika majlis pengumuman calon PN pada 25 April lalu.
Muhyiddin turut memuji Khairul sebagai anak tempatan yang mendapat pendidikan awal di SK Felda Sungai Tengi dan SMK Felda Soeharto, kedua-duanya di Hulu Selangor.
Sementara calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pula berasal dari Ampang dan beliau sebelum ini memang mengakui bukan anak tempatan.
Dua calon lain ialah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN terbabit, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi 4,119. – 10 Mei, 2024