BDS gesa kerajaan ketepikan syarikat didakwa dapat untung daripada keganasan terhadap Palestin

BDS menyenaraikan 12 syarikat terlibat antaranya Google, Lockheed Martin dan Hewlett-Packard

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — BDS Malaysia menggesa kerajaan untuk tidak mengadakan sebarang kontrak dengan syarikat didakwa terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza.

Dalam kenyataannya, BDS Malaysia menyenaraikan beberapa syarikat terbabit yang didakwa mendapat keuntungan daripada keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin.

Syarikat terbabit adalah Lockheed Martin, BAE Systems, Hewlett-Packard, Caterpillar, Siemens, Caltex/Chevron, JC Bamford, HD Hyundai, Intel, Google, HIK Vision dan TKH.

“Adalah sangat penting untuk kita bertindak menyekat pembunuhan beramai-ramai di Gaza sekarang. Salah satu cara adalah memastikan syarikat-syarikat ini dipertanggungjawabkan atas keterlibatan dan menyeru semua pihak untuk tidak memberi sebarang kontrak perniagaan kepada mereka.

“Kami menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan segera dengan mengecualikan syarikat-syarikat yang disenaraikan itu daripada sebarang perolehan atau pembelian perkakasan dan perisian,” katanya.

BDS Malaysia turut menggesa kerajaan menerima cadangan untuk menyelaraskan dasar dan amalan perdagangan negara dengan dasar luar negara yang langsung dan jelas tidak mengiktiraf Israel.

Menurutnya, Israel boleh bertindak tanpa hukuman kerana perlindungan diplomatik dan politik oleh Amerika Syarikat (AS) dan Barat.

Walau bagaimanapun dakwanya, adalah juga fakta bahawa antara pembolehnya ialah syarikat-syarikat yang mendapat keuntungan daripada keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin.

“Ini bukan sahaja tidak boleh diterima tetapi tercela dari segi moral,” katanya.

BDS Malaysia menambah, ‘negara haram’ Israel yang dibina dengan cara menjajah bumi Palestin dan bercirikan amalan aparteid, telah lama kehilangan sebarang hak untuk diiktiraf atas dasar intelektual atau moral.

Katanya, ketidakupayaannya untuk menjustifikasikan kewujudan serta tindakannya telah menjadi jelas kepada seluruh dunia.

“Keganasan berterusan terhadap penduduk awam Gaza adalah bukti akan keadaannya yang sedang terdesak, sekali gus mendedahkan kepada seluruh dunia akan sifat sebenarnya iaitu tersangat jahat dan zalim,” tambahnya. – 7 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related