KUALA KUBU BAHARU — Sebanyak 97 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, proses itu melibatkan seramai 769 orang pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan.
“Peratus keluar mengundi bagi hari mengundi awal adalah sebanyak 97 peratus.
“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Proses pengundian awal ini hanya melibatkan dua Pusat Mengundi iaitu di Dewan Serbaguna Maktab PDRM dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine di sini yang bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang.
Beliau turut berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak atas kerjasama kepada SPR.
PRK Dun Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao; calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas). – 7 Mei, 2024