KUALA KUBU BAHARU – Perikatan Nasional (PN) akan memfailkan petisyen pilihan raya jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung Sabtu ini.
Amaran itu disuarakan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa memiliki banyak bukti secara video dan catatan mengenai penyaluran dan penyalahgunaan jentera kerajaan yang disifatkan sebagai rasuah pilihan raya.
“Kalau sekiranya ditakdirkan PH menang, kami akan memfailkan petisyen pilihan raya. Sudah tentu, kita ada binding precedent (duluan penghakiman) dalam kes (kerusi Parlimen) Kuala Terengganu, Kemaman itu sendiri, kita akan menggunakan perkara itu.
“Oleh sebab itulah keputusan di Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Kemaman telah dibatalkan. Itu pun kerana kerajaan negeri yang pada masa itu kerajaan negeri belum dibubarkan lagi.
“Dia (kerajaan negeri Terengganu) melaksanakan tanggungjawab beri bantuan kepada rakyat Terengganu berdasarkan kepada bajet tetapi mahkamah pilihan raya masih mengatakan bahawa itu rasuah pilihan raya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, pihaknya sudah mengumpulkan bukti-bukti berkenaan dalam PRK KKB ini mengenai rasuah pilihan raya.
“Kami memberi amaran, sepatutnya tak perlu beri amaran, mana-mana calon, mana-mana parti yang terkesan daripada keputusan satu-satu pilihan raya, dengan kata lain pihak yang kalah, boleh memfailkan petisyen pilihan raya.
“Kami (PN) dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) baru-baru ini, saya sebagai peguam yang mengendalikan petisyen di Terengganu, di Kelantan ada, juga di Melaka.
“mahkamah pilihan raya telah membuat ketetapan bahawa penyaluran bantuan-bantuan oleh kerajaan di kawasan pilihan raya, kepada pengundi-pengundi yang akan mengundi dalam pilihan raya itu adalah rasuah pilihan raya,” katanya.
Beliau kemudiannya menyeru pengundi di KKB supaya memastikan kemenangan PN dalam PRK tersebut.
“Kalau tak nak mengundi sekali lagi dalam PRK, pastikan PN menang dalam pilihan raya ini. Kalau pihak yang satu lagi menang, kemungkinan besar, bukan kemungkinan, pasti kami akan memfailkan petisyen pilihan raya,” tegasnya.
PRK KKB akan diadakan Sabtu ini, dengan empat calon bertanding iaitu Pang Sock Tao mewakili PH; Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan Bebas, Nyau Ke Xin.
PRK itu diadakan selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Lee Kee Hiong bulan lalu akibat kanser. – 6 Mei, 2024