KUALA LUMPUR – Setiap kakitangan kerajaan diingatkan untuk mengawal dan mengenalpasti mana-mana pekerja di jabatan masing-masing yang tidak melaksanakan tugasan dengan bertanggungjawab, selain merosakkan nama baik penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjawat awam bermasalah sikap, seperti tidak bertanggungjawab, cuai, tidak hadir bekerja dan rasuah, tidak layak menerima layanan sama seperti pekerja yang bagus, termasuk dalam aspek kenaikan gaji.
“Dalam sistem persaraan ini kita kaji menyeluruh, ada orang kata, mempertikai kalau di sekolah mungkin 90 peratus lebih guru menjalankan tanggungjwab, tapi ada guru yang cuai, ada kadang-kadang tidak hadir.
“Begitu juga dengan masalah di jabatan ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah, apakah harus kita beri layanan sama kepada kumpulan kecil,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Perjumpaan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Anwar menegaskan, walaupun jumlah penjawat awam yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan itu kecil, beliau tidak akan berkompromi.
“Ada kata tak sampai lima peratus, jawab saya tidak, tidak akan berikan layanan sama.
“Jadi saya minta sementara kita (kerajaan) berikan satu anjakan agak radikal dari segi memberikan pengiktirafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara mengawal sendiri jabatan dan rakan supaya dikenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya.
Menurutnya, sesuatu keputusan dilakukan kerajaan dan tambahan dimasukkan di dalam Bajet adalah muktamad walaupun ia bukan perkara mudah diputuskan, termasuk mengenai kenaikan gaji penjawat awam.
Justeru, Anwar berkata, atas cabaran dihadapi kerajaan, beliau cukup mengambil berat dan tidak akan berkompromi mengenai masalah rasuah serta ketirisan, terutama dalam kalangan penjawat awam.
Malah, beliau berharap penjawat awam memiliki integriti yang setimpal dengan pengiktirafan dan keyakinan diberikan kerajaan.
“Ketirisan itu saya berat betul, anda baiki yang ini dia pulang kepada penjawat awam.
“Anda biarkan perkara itu berlaku tidak mungkin kita bawa perubahan, jadi saya harap dapat dibetulkan,” katanya. – 6 Mei, 2024