HULU SELANGOR – Tiga sekeluarga ditemukan lemas di Sungai Balak dekat Jalan Genting Lama – Batang Kali, di sini, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Arif Fadzil Abdul Saleh, 43, serta anak-anaknya Damia, 9, dan Malik, 6 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 1.09 petang.
Beliau berkata, sepasukan 12 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
Turut memberi bantuan adalah Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang.
“Menurut laporan awal, terdapat tiga mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.
“Semua mangsa ditemui pada jarak 30 meter dari lokasi mereka lemas,” katanya menerusi satu kenyataan.
Wan Md Razali berkata, Arif dari Kg Kuantan Batang Kali datang ke kawasan berkenaan bersama keluarganya.
“Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat akan dibawa ke Hospita Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat,” katanya. – 5 Mei, 2024.