KUALA LUMPUR – Presiden Colombia, Gustavo Petro mengumumkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel kerana pembunuhan beramai-ramai atau genosid dilakukan rejim Zionis dalam perang di Gaza.
“Hari ini (semalam) hubungan diplomatik dengan negara Israel akan terputus… kerana mempunyai presiden (Benjamin Netanyahu) yang melakukan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Pengumuman itu dibuatnya ketika perhimpunan Hari Pekerja di Bogota semalam.
Petro yang lantang mengkritik serangan ke atas Gaza memberitahu ribuan penyokongnya bahawa dunia tidak boleh menerima pembunuhan beramai-ramai atau pemusnahan seluruh rakyat.
“Jika Palestin mati, kemanusiaan juga mati,” katanya.
Colombia, negara ketiga paling ramai penduduk di Amerika Latin dan sekutu Amerika Syarikat (AS) yang terpenting di rantau ini, menyertai Bolivia dan Belize dalam mengambil langkah yang jarang berlaku untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
Walaupun banyak negara, termasuk Colombia telah memanggil pulang diplomatnya dari Israel, beberapa negara bertindak lebih jauh dengan menggantung hubungan diplomatik mereka.
Israel bertindak balas dengan menyifatkan Petro sebagai “anti-Semitik dan pembenci,” mendakwa pendirian pemimpin itu sama dengan memberikan ganjaran kepada Palestin.
Hamas bagaimanapun memuji langkah itu dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan untuk rakyat Palestin.
“Kami amat menghargai kedudukan Presiden Colombia, Gustavo Petro yang kami anggap sebagai kemenangan atas pengorbanan rakyat kami dan tindakan adil mereka,” katanya. – 2 Mei, 2024