KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang penyelewengan dan rasuah berhubung cadangan projek pembinaan National Training Centre (NTC) di Putrajaya, setakat ini.
Menurut sumber, perkara itu disahkan SPRM yang sedang menjalankan siasatan ke atas membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Katanya, setakat ini juga, SPRM merakam percakapan 14 saksi dan membuat pemeriksaan ke atas 10 premis berkaitan dengan tohmahan terbabit.
“Siasatan ini memberikan fokus utama kepada cadangan projek pembinaan NTC di Putrajaya yang dianggarkan berjumlah RM25 juta.
“Hasil siasatan ke atas projek pembinaan NTC mendapati, peruntukan yang dikeluarkan adalah dari sumber FIFA,” katanya menerusi kenyataan,
Sumber itu berkata, sebanyak tujuh kontraktor dipanggil untuk menyertai tender terbabit.
Ujarnya, tiga syarikat sudah disenarai pendek berdasarkan keupayaan dan tawaran ditetapkan serta mengikut spesifikasi FIFA.
Ketiga-tiga syarikat itu, tegasnya, sudah dikemukakan kepada FIFA yang bermesyuarat pada 8 April 2024 dan sebuah syarikat sudah dilantik untuk melaksanakannya.
“Status semasa adalah penyediaan dokumen perjanjian kontrak oleh FAM hasil daripada keputusan pemilihan dibuat sendiri FIFA,” katanya.
Pada masa sama, sumber memaklumkan, siasatan kes FAM hampir selesai dan akan dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan untuk kajian serta keputusan. Pesuruhjaya (O) SPRM mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh sudah dilaksanakan berhubung perkara ini.
“Sebagaimana dijelaskan Ketua Pesuruhjaya, pihak SPRM hanya memfokuskan kepada isu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, namun menyerahkan kepada Bahagian Pendakwaan untuk sebarang keputusan lanjut,” katanya. – 29 April, 2024