KUALA LUMPUR – Puting beliung yang melanda Guangzhou, China pada kira-kira jam 3 petang semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya lima terbunuh dan 33 cedera setakat ini.
Menurut agensi berita rasmi negara berkenaan, Xinhua seperti dilaporkan CNN, cuaca buruk termasuk puting beliung itu adalah situasi semasa melanda kawasan berkenaan.
Agensi berita itu melaporkan, pihak berkuasa meletakkan kekuatan puting beliung itu pada tahap tiga daripada lima paras.
Guangzhou yang terletak kita-kira 130 kilometer (km) dari Hong Kong adalah ibu kota wilayah Guangdong yang memiliki paling ramai penduduk di China, dengan dihuni sekitar 127 juta orang dan menempatkan beribu-ribu kilang untuk sektor eksport negara.
Puting beliung itu berlaku selepas hujan lebat beberapa hari melanda Selatan China, sehingga menyebabkan banjir yang meragut empat nyawa selain mengancam keselamatan penduduk, sekali gus menyaksikan penyelamat bertungkus-lumus memindahkan mangsa terperangkap akibat air semakin naik.
Sementara itu, media memaklumkan, kira-kira 141 kilang rosak, walaupun tiada rumah runtuh akibat puting beliung terbabit, dengan kereta rosak dan dan pokok tumbang. – 28 April, 2024