KUALA LUMPUR – Dalam memenuhi tanggungjawab sebagai pekerja, Islam menuntut umatnya melakukan tugasan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.
Menurut khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk Bekerja Kerana Allah, setiap pekerjaan yang cemerlang itu pastinya terhasil dengan ketekunan dan kesungguhan.
Katanya, kecemerlangan bukanlah semata-mata mendapat markah tinggi atau dipuji majikan, tetapi kecemerlangan yang sebenarnya ialah apabila ia mencapai mardhatillah (keredaan Allah SWT).
“Bekerja adalah suatu amanah yang terkait juga padanya etika dan moral serta dosa pahala.
“Setiap kerja dilakukan menuntut kepada kesediaan mental dan fizikal serta paling penting, sifat ikhlas serta penyerahan diri kepada Allah SWT kerana nanti pada akhirnya, setiap dilakukan itu dinilai Allah SWT,” katanya.
Khutbah itu menegaskan, pekerja sebagai aset negara juga sewajarnya dilayan dengan baik oleh majikan.
Ujarnya, dalam era perkembangan industri, tindakan eksploitasi terhadap pekerja berlaku disebabkan pengabaian hak pekerja yang boleh dikategorikan sebagai ‘penghambaan moden’.
Pada masa sama, ia berkata, umat Islam sebagai khalifah Allah di muka bumi ini memegang sejumlah amanah dan tanggungjawab.
“Dalam menyantuni kehidupan dunia ini, segala keperluan hidup memerlukan harta dan kewangan stabil serta kukuh.
“Antara cara mendapatkan harta ialah melalui pekerjaan. Dengan sebab itu, dalam Al-Quran terdapat banyak perintah untuk kita bekerja seterusnya mencapai kehendak manusiawi yang kita miliki.
“Kunci utamanya ialah pekerjaan itu adalah halal dan tidak bertentangan dengan syariat, sama ada kita sebagai peniaga, tokoh korporat besar, petani, pekebun, penternak, nelayan, pertukangan, mengambil sebarang upah, penjawat awam, bekerja di sektor swasta, maka semuanya digalakkan,” katanya.
Justeru, umat Islam perlu memperbetulkan niat setiap kali bekerja kerana mengikut apa diperintah Allah.
“Kita juga bertanggungjawab melaksanakan tugas dalam pekerjaan dengan penuh etika dan berintegriti.
“Antaranya melaksanakan amanah pada hak yang sepatutnya, menepati masa, saling menghormati sama ada antara majikan dan pekerja serta mengamalkan akhlak mulia dalam berbicara dan tingkah laku.
“Hendaknya kita menjauhi sikap negatif dalam bekerja seperti malas, curi tulang, rasuah dan pecah amanah, bertangguh, bercampur bebas antara lelaki dan perempuan tidak ada pertalian serta lebih banyak melepak dari melakukan kerja sebagainya,” katanya. – 26 April, 2024