IPOH – ‘Rahang patah tapi Alhamdulillah muka mama elok, sempurna’ demikian perkongsian anak sulung salah seorang mangsa, Allahyarhamah Noor Rahiza Anuar, 39, mengenai keadaan jasad ibunya ketika proses pengecaman mayat dibuat petang tadi.
Menurut Nur Qistina Awliyah Mohd Azinor, 16, jenazah ibunya akan dikebumikan di Yan, Kedah.
Bercerita mengenai kenangannya bersama arwah, Nur Qistina yang juga anak sulung daripada empat beradik tidak menyangka keterujaan ibunya menyambut hari lebaran dan bergambar bersama-sama merupakan petanda arwah akan meninggalkan mereka sekeluarga.
“Masa hari raya hari itu, dialah yang paling excited nak tangkap gambar. Lepas itu, mama cakap tak mengapalah mungkin ini akan jadi kenangan terakhir boleh simpan buat kenangan.
“Baju raya mama tahun ini (saya akan simpan selama-lamanya),” katanya.
Menurut Nur Qistina lagi, ini merupakan kali pertama ibunya mengikuti program sempena sambutan Hari Tentera Laut.
“Kebiasaannya mama hanya terlibat dalam perarakan Hari Kemerdekaan tapi kali ini mama terlibat untuk ambil gambar pemandangan dari atas helikopter,” katanya.
Noor Rahiza Anuar, 39, merupakan salah seorang daripada 10 mangsa korban nahas helikopter Lumut, pagi tadi. – 23 April, 2024