SUNGAI BULOH – “Saya dah penat.”
Itu luahan seorang penduduk di Kg Kubu Gajah di sini yang sudah dua kali berdepan dengan banjir meskipun baru tiga tahun menetap di kawasan berkenaan.
Menurut Muhammad Hafizi Hafiz Roslan, 28, yang menetap di Lorong 16, banjir kilat pada Selasa lalu merupakan kejadian banjir kedua yang dilaluinya sekeluarga sejak Disember 2021.
Menurut kakitangan swasta itu, dia kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan kenderaannya yang rosak teruk akibat ditenggelami air yang naik hingga ke paras paha.

“Sekarang kereta itu memang tersadai dan tak boleh digunakan lagi.
“Jujur saya cakap memang letih untuk mengemas dan ketika kejadian berlaku, saya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan suara jiran minta alihkan kereta tapi saya tak sempat berbuat demikian sebab air naik terlalu cepat.
“Saya harap pihak terbabit dapat membesarkan lagi longkang agar laluan air itu akan jadi elok dan tidak tersumbat sekali gus dapat elak kejadian banjir kilat berlaku lagi,” katanya kepada Scoop.

Sementara itu, Norhayati Hassan, 28, yang menetap di Lorong 23, kampung yang sama berkata, dia mengambil masa selama tiga hari bagi membersihkan kediamannya.
Menurutnya lagi, setakat hari ini masih tiada sebarang bantuan diberikan oleh mana-mana pihak termasuk pertolongan pembersihan rumah daripada persatuan sukarelawan.
“Penat memang tak boleh nak cakap. Kalau ada pasukan sukarelawan (datang membantu), mungkin ambil masa dalam satu, dua hari untuk kemas.
“Buat masa ini memang tiada sukarelawan datang di kawasan sini, mungkin mereka ada pergi ke kawasan lain.
“Mesin basuh dan sofa semua terkena air… yang mana boleh diselamatkan kita akan basuh balik. Yang rosak semua kita dah buang,” katanya.

Nur Rokiah Abu Bakar, 51, pula berkata, dia berkemungkinan akan berpindah mencari kawasan rumah baharu yang kurang berisiko dilanda banjir.
Menurutnya dengan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan, dia tidak larat untuk mengemas rumah pasca banjir yang banyak merosakkan barangan elektrik dalam rumah.
“Hari ini dah masuk hari ketiga kami kemas dan masih belum selesai sampai sekarang.
“Saya buat sikit-sikit sebab ada penyakit asma. Selepas ini, saya kena buat rak tinggi ataupun pindah rumah.
“Sekarang ini pun, saya tidur di atas lantai sebab alas toto dah buang. Nak tunggu suami dapat gaji untuk beli tilam baharu, dan dia pun dah seminggu terpaksa ambil cuti untuk kemas barang-barang,” katanya.
Menurut Rokiah, setakat ini tiada sebarang sumbangan diterimanya memandangkan dia dan suami bukan anak jati negeri Selangor.

“Saya ada isi borang tetapi belum dapat bantuan kerana kami bukan berasal dari negeri Selangor.
“Ada orang datang bagi bantuan beras dan barang, tetapi saya tidak dapat jadi tengok sahaja (pemberian bantuan).
“Sepatutnya tak kiralah negeri asal mana pun, dah jadi macam ini (bencana alam) kenalah bantu semua orang. Kami ni pun bukanlah gaji tinggi,” katanya.
Selasa lalu, Scoop melaporkan hujan lebat sejak lebih sejam mengakibatkan kawasan perumahan di Kampung Kubu Gajah dinaiki air.
Beberapa laluan utama di kawasan ini terputus susulan limpahan air dari sungai berdekatan.
Selain Kubu Gajah, kawasan yang turut terjejas ialah Kampung Melayu Subang dan Kampung Baru Sungai Buloh. – 22 April,2024