KUALA LUMPUR – Pelaksanaan aktiviti merentas desa di sekolah perlu dipertimbangkan semula bagi mengelakkan risiko kepada pelajar dari segi keselamatan dan kesihatan mereka.
Bercakap kepada Scoop, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, walaupun aktiviti itu bertujuan meningkatkan kecergasan murid, risikonya terlalu tinggi.
Katanya, risiko itu boleh disumbangkan beberapa faktor, antaranya jarak laluan jauh, tidak semua murid benar-benar cergas, keadaan sekeliling boleh mengundang bahaya dan berlaku jenayah.
“Ada beberapa insiden pernah berlaku ketika aktiviti merentas desa (sekolah). Memanglah langkah-langkah penjagaan diambil tetapi risikonya tinggi, jadi kita kena tengok balik lah merentas desa ini dari segi kesihatan, keselamatan dan pengurusan, semua kena lihat.
“Pihak sekolah akan mewajibkan semua murid menyertai, tetapi pertimbangan juga perlu dibuat dari segi kesihatan, fizikal dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Jalan Kampung Gentam, Taman Fatimah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa.
Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi semalam itu, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, remaja itu menyertai sukan anjuran sekolah bersama kira-kira 700 pelajar kira-kira jam 8 pagi, dengan larian sejauh tujuh kilometer (km).
Bagaimanapun, ketika mangsa menghampiri garisan penamat, dia dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri.
Fouzi berkata, bagi mengelakkan risiko terhadap kesihatan pelajar, ibu bapa ‘wajib’ memaklumkan kepada guru kelas ketika pendaftaran murid setiap awal tahun sekiranya anak menghidap sebarang penyakit, sama ada kronik atau tidak atau jika pernah berdepan sebarang kemalangan, patah tulang atau jatuh.
“Data kesihatan ni yang tahu hanya ibu bapa jadi di sekolah dia akan simpan rekod jika ibu bapa maklumkan sebab cikgu tak tahu, katalah satu aktiviti merentas desa tu kalau satu sekolah ada lebih kurang 1,000 orang, tak akan lah cikgu nak tanya setiap murid.
“Biasanya cikgu akan tanya secara umum siapa murid ada penyakit atau tidak sihat sila ke tepi, tak perlu ambil bahagian, tetapi kadang-kadang anak ini kalau dah excited (teruja) nak menyertai kawan, dia rasa dia sihat, rasa sihat tu yang masalah dia,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah sentiasa diingatkan berjaga-jaga dengan situasi pelajar dan mengikuti prosedur ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ingin melaksanakan program luar bilik darjah, termasuk merentas desa.
“Penganjuran aktiviti luar, termasuk merentas desa ini kena bergantung kepada situasi setempat mengikut pertimbangan pihak sekolah yang diterajui guru dan pengetua, malah memang sudah ada surat siaran KPM menyatakan tidak sesuai jika pada cuaca panas,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan menasihatkan semua supaya tidak menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.
Ujarnya, tempoh bertenang juga harus diambil pihak berkaitan sebagai pengajaran daripada insiden terbabit, selain memikirkan semasak-masaknya penambahbaikan boleh dilakukan.
Pada masa sama, beliau meminta pihak sekolah memaklumkan kepada ibu bapa mengenai penganjuran program merentas desa dan ibu bapa pula, harus memberitahu sekiranya anak mereka tidak sesuai mengikuti program berkenaan.
“Pihak sekolah barangkali perlu membuat pemeriksaan kesihatan asas kepada pelajar yang mahu mengikuti program, supaya boleh mengecualikan pelajar tidak cergas atau tidak sihat daripada menyertainya.
“Mungkin juga memberi kelonggaran supaya pelajar itu tak semestinya kena habiskan larian, tetapi mungkiin mencukupi beberaa kilometer.
“Sebelum memulakan acara pihak penganjur perlu mendapatkan surat untuk tidak menyalahkan mana-mana pihak jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Ditanya pandangan segelintir pihak supaya merentas desa di sekolah dimansuhkan, beliau tidak bersetuju, sebaliknya berpendapat pemantauan rapi dan pengawasan ketat harus diberi perhatian.
“Saya mengharapkan senarai semak disediakan sebelum acara larian ini mula, termasuk memastikan ada kerjasama daripada pihak berkaitan seperti KPM, Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa.
“Jarak antara ‘check point’ juga perlu lebih dekat dan menempatkan pakar bertauliah di setiap hentian itu, bagi memantau rapat tahap kesihatan pelajar dan tidak membenarkan mereka meneruskan larian, jika dilihat tidak cegas,” katanya. – 21 April, 2024