KUALA LUMPUR – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata, pasukannya telah melakukan semua yang terdaya, malah menguasai permainan di Stadium Etihad sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh juara 14 kali, Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Turun selaku juara bertahan, skuad The Citizens tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti 3-4 selepas kedua-dua pasukan terikat secara agregat 4-4.
Selepas dikejutkan dengan gol awal Rodrygo pada minit ke-12, City menguasai perlawanan dan melancarkan 33 percubaan, namun permainan bertahan Real menyebabkan hanya satu gol berjaya diperoleh menerusi Kevin de Bruyne, di minit ke-76.
Selepas seri 3-3 dalam aksi pertama di Madrid, minggu lalu, kedudukan 1-1 di Manchester menyebabkan permainan terpaksa diheret ke masa tambahan sebelum penalti menentukan pemenang.
“Saya lebih suka jika kami menang tetapi tahniah kepada Real Madrid, mereka bertahan dengan amat kental, menunjukkan solidariti yang luar biasa dan kami telah mencuba segala-galanya.
“Saya tidak kesal dengan apa yang telah kami lakukan. Secara bertahan, menyerang, kami bermain luar biasa di semua bahagian, dalam segala-gala aspek tetapi malangnya tidak mampu menang, jadi itulah yang berlaku,” kata Guardiola.
Selepas merangkul kejuaraan treble pertama mereka – Liga Juara-Juara, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris musim lalu, City berada di landasan untuk muncul pasukan pertama meraih tiga kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut.
Begitupun biarpun mencipta 33 percubaan berbalas lapan, selain memiliki 18 sepakan penjuru berbanding hanya satu diperoleh Real, tiada apa yang mampu dilakukan anak-anak buah Guardiola untuk mencatat kemenangan.
“Johan Cruyff (legenda Belanda dan Barcelona) pernah berkata, ‘tuah’ tidak wujud, dan saya bersetuju dengannya.
“Kalah cara begini memang menyakitkan tetapi bola sepak adalah tentang menjaringkan gol. Ketika penentuan sepakan penalti, mereka bertindak lebih baik sedikit berbanding kami. Apa lagi yang boleh kami katakan?” kata pengurus kelahiran Sepanyol itu. – 18 April, 2024