KUALA LUMPUR – Terima ‘upah’ berbentuk wang rasuah berjumlah RM800 secara bulanan.
Demikian dilakukan seorang penjawat awam di Perlis selepas taktiknya sejak 2022 itu dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak menahannya petang semalam.
Sumber memberitahu, suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan itu membabitkan enam transaksi melalui pindahan akaun orang tengah.
“SPRM Perlis telah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM4,800 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh bot-bot penangkapan ikan milik sebuah syarikat berkaitan hasil laut,” katanya hari ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan antara 40-an ditahan kira-kira jam 2.45 petang di pejabat SPRM Perlis ketika diminta hadir memberi keterangan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dengan perbuatan itu sekitar tahun 2022.
Sementara itu Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kangar hari ini. – 18 April, 2024