KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki merakam gambar atau video seorang wanita di dalam tandas dekat sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes mengaibkan kehormatan daripada mangsa wanita berusia dalam lingkungan 20-an pada 7 April lalu.
“Kejadian berlaku pada jam 8.40 malam, 6 April lalu di mana mangsa menyedari terdapat individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu tandas dan disyaki merakam gambar atau videonya.
“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan memakai baju hitam serta seluar coklat ketika kejadian.
“Suspek juga mempunyai misai, berjanggut nipis serta berselipar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Zaidi turut meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek terbabit supaya menghubungi pihak polis dengan kadar segera.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. – 17 April, 2024