KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengarahkan platform e-dagang, Lazada memadam kandungan iklan dan penjualan Kingu Ginseng Candy yang dikesan mengandungi Tadalafil, serta-merta.
Menerusi kenyataannya, KKM berkata, Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.
Katanya, arahan itu dikeluarkan KKM selepas hasil siasatan pihak kementerian mendapati label produk tersebut tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar dan empunya hak untuk mengilang serta pengimport.
“KKM mengambil maklum laporan media massa mengenai nasihat dikeluarkan Agensi Makanan Singapura (SFA) terhadap pembelian gula-gula ginseng dari Malaysia, Kingu Ginseng Candy yang dikesan mengandungi Tadalafil.
“KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sudah menjalankan siasatan dan saringan awal mendapati, produk ini dijual secara dalam talian di platform Lazada,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Scoop melaporkan bahawa SFA menarik balik Kingu Ginseng Candy dari Malaysia, selepas agensi berkenaan mendapati gula-gula itu mengandungi Tadalafil.
SFA berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai platform e-dagang untuk menarik penyenaraian gula-gula itu, selain memberi amaran kepada peruncit supaya berhenti menjual produk berkenaan serta-merta.
Menurut KKM, Tadalafil hanya boleh dibekalkan doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi pegawai perubatan.
Penggunaan Tadalafil tanpa pengawasan doktor, katanya, boleh menyebabkan kesan kesihatan serius, iaitu pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya serta kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.
Jelasnya, status keselamatan produk di pasaran, termasuk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual termasuk Tadalafil, sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
“Sejak 2018 sehingga kini, daripada 1,575 sampel produk yang diambil kerana disyaki mengandungi racun berjadual, 32 sampel (2.03 peratus) didapati mengandungi racun beradual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas syarikat dan produk terlibat.
“Menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.
“Apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Justeru, KKM memaklumkan, mana-mana peniaga termasuk dalam talian yang mempunyai stok produk dinyatakan itu, diarah menghentikan serta-merta penjualannya.
Semua platform e-dagang dan media sosial, katanya, diminta menghentikan penyiaran kandungan iklan makanan terbabit serta-merta.
Malah, tegasnya, orang ramai yang sedang menggunakan produk itu, perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung apa-apa isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), http://moh.spab.gov.my dan https://www.facebook.com/bkkmhq,” katanya. – 15 April, 2024