KUALA LUMPUR — Penyanyi yang semakin popular, Nadeera mengakui sambutan raya tahun ini sangat bermakna kerana sepupu rapatnya bakal mendirikan rumah tangga di Kota Bharu, Kelantan.
Kata Nadeera kepada Scoop, sepupunya itu bakal bernikah pada hari raya keempat dan sudah pasti kemeriahan raya sangat dirasai pada tahun ini apabila seluruh keluarga dan saudara-mara bakal berkumpul di kampung ibunya.
“Memang saya sangat teruja dapat balik raya di Kota Bharu. Sebab, semua saudara-mara yang ada di ceruk Kelantan dapat berkumpul. Jadi, raya tahun ini memang meriah.
“Saya juga bercadang untuk buat majlis doa selamat pada raya kedua atau keempat sempena kemenangan saya sebagai juara Big Stage dua tahun lalu.
“Sebab memang saya tak sempat buat pun sebelum ini. Alang-alang semua saudara-mara sudah berkumpul, kita buat sekalilah. Lagipun, saya ada ramai kawan-kawan di sana,” katanya yang memilih menyambut raya secara sederhana.
Nadeera juga akui sepanjang beraya di Kota Bharu sebelum ini, dia tidak pernah menempuh kesesakan jalan raya selama berbelas jam.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tak pernah alami masalah ini. Tapi, saya ada ramai kawan-kawan yang mengalaminya.
“Macam raya tahun ini, saya pulang ke Kota Bharu sehari sebelum raya dan bertolak dari Mersing, Johor dahulu iaitu kampung di sebelah keluarga ayah.
“Dari Mersing ke Kota Bharu, perjalanan mengambil masa selama lapan jam. Kalau bukan disebabkan kesesakan pun, memang itulah tempoh masa yang terpaksa ditempuh,” kata anak kedua daripada dua beradik ini.
Bersyukur kerana dilimpahi rezeki untuk mengadakan persembahan seni selepas kemenangannya di program realiti hiburan, Big Stage, Nadeera mengakui kehidupannya memang jauh berbeza berbanding dahulu.
“Dulu, tawaran menyanyi tiada langsung. Sekarang ini, setiap bulan ada, Alhamdulillah. Orang pun sudah mula mengenali saya.
“Jadi, untuk memastikan saya terus relevan dan kekal dengan momentum yang ada, saya sekarang ini sedang berjinak-jinak untuk mencipta lagu bersama dua orang teman.
“Lagu-lagu yang saya cipta ini juga bakal dimuatkan dalam album mini saya yang berkemungkinan mempunyai lima lagu.
“Ada yang sudah dirakamkan dan ada yang belum dan saya tetap akan kekalkan genre muzik balada tetapi lagu-lagu yang saya cipta ini lebih kepada hati kerana saya nak orang rasa kesedapan lagu itu,” katanya.
Jelas Nadeera, dia sebetulnya sudah lama mencipta lagu tetapi untuk beberapa penyanyi lain termasuk Yasmeen Aziz dan Khai Bahar.
“Tapi sebelum ini, saya tiada keyakinan tulis lagu untuk diri saya sendiri. Tahun ini, hasil sokongan kedua-dua rakan, saya cuba beranikan diri kerana mereka beritahu, saya tidak boleh selamanya berada di takuk lama,” katanya. – 10 April, 2024