KUALA LUMPUR – Konsep puasa sebulan, raya juga harus dirai dan disambut selama sebulan adalah tidak betul.
Demikian ditegaskan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Mohamad Fazli Sabri yang melihat konsep sedemikian, jika diterima pakai, tidak hairanlah masyarakat khususnya pengguna Islam akan berdepan situasi ‘berbelanja berlebihan’.
Bercakap kepada Scoop, menurut beliau, sepatutnya masyarakat lebih bijak dan berhemah berbelanja terutama dalam situasi ekonomi semasa (peningkatan kos sara hidup) dan mengamalkan kesederhanaan dalam menyambut Syawal.
“Perkara yang perlu diberi perhatian ialah elakkan diri daripada berbelanja berlebihan sehingga membawa kepada masalah bebanan kewangan atau hutang. Apa yang menyedihkan ada dalam kalangan pengguna yang sanggup meminjam atau berhutang semata-mata mahu memenuhi tuntutan nafsu dan emosi untuk belanja raya.
“Malah ada dalam kalangan pengguna yang menggunakan kesempatan ini untuk berlumba-lumba dengan rakan dan jiran bagi mempamerkan koleksi terbaru raya mereka berbanding meningkatkan ukhuwah dan silaturahim.
“Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baik dan harus diamalkan saban tahun terutama sekali dalam situasi ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup. Ramai yang sanggup membuat hutang baru semata-mata ingin memenuhi selera dan nafsu untuk menyambut hari raya,” katanya.

Beliau yang juga pakar kewangan pengguna berkata, kebanyakan masyarakat lebih mengutamakan perbelanjaan semasa tanpa melihat keperluan dan kepentingan perbelanjaan masa hadapan terutama selepas musim perayaan.
Katanya, dalam persiapan raya, apa yang membimbangkan adalah kumpulan pengguna yang menerima pakai konsep ‘beli dulu, bayar kemudian’ sebagai tabiat berbelanja dengan sanggup meminjam dan berhutang untuk pembelian yang kurang perlu hanya kerana istilah ‘raya’.
Bahananya jelas beliau, adalah pengguna akan menambah beban hutang yang sedia ada dan sekiranya tidak diuruskan secara bijak dan berhemah mereka akan terus terperangkap dengan ‘hutang’.
PENDEKATAN SEDERHANA DALAM BERBELANJA

Mohamad Fazli menegaskan, tiada salahnya membuat persiapan dan perbelanjaan untuk meraikan perayaan namun penting mengamalkan kesederhaan dalam berbelanja untuk mengelak diri daripada bebanan hutang.
“Kita tak nak gembira untuk satu ke dua hari tetapi menanggung bebanan hutang jangka masa lama. Bila nak raya, memang perlukan bajet tambahan. Kena bincang bersama pasangan atau ahli keluarga keperluan perbelanjaan musim perayaan. Tentukan berapa bajet persiapan raya pada kali ini. Misalnya RM1,000 ke RM2,000.
“Senaraikan item perbelanjaan misalnya pakaian raya – kalau boleh pakai yang dulu punya apa salahnya. Fokus kepada apa yang perlu sahaja berbanding kehendak,” katanya.

Beliau berkata, momentum menguruskan perbelanjaan dan kewangan perlu difikirkan bersama sekali gus mengelakkan situasi sengsara selepas raya.
“Perlu lihat semula kedudukan kewangan kita dan keluarga. Analisis ke atas aliran tunai (pendapatan vs perbelanjaan),” katanya.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada generasi muda khususnya yang cenderung berbelanja melebihi kemampuan untuk memenuhi trend terkini.
“Mereka ini perlu elakkan cara gaya hidup YOLO – You Only Live Once. Tingkatkan simpanan terutama dana kecemasan. Simpanan untuk pendidikan tinggi dan peningkatan kerjaya serta fikir kaedah bagaimana boleh menjana pendapatan,” katanya. – 12 April, 2024