KUALA LUMPUR — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyatakan kebersamaan dalam mempromosikan budaya hidup secara damai dan harmoni menerusi gerakan Maaf Zahir Batin (#MZB365).
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata inisiatif itu yang digerakkan bersama beberapa institusi dan Badan Masyarakat Sivil (CSO) tidak hanya terhad ketika perayaan Aidilfitri, malah akan digerakkan sepanjang tahun.
“Tradisi bermaaf-maafan yang sinonim dengan perayaan Aidilfitri mempunyai makna yang sangat mendalam. Ia bukan sekadar rutin.
“Sebaliknya, ia gambaran kepada tekad seseorang untuk mengakui kekhilafan yang ada pada diri di samping keterbukaan untuk memaafkan orang lain untuk merintis jalan hidup damai pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yakin inisiatif #MZB365 yang berasaskan amalan memohon dan memberi maaf setiap hari, dapat menyegarkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Semalam, CSO dan Media di Malaysia bekerjasama memperkenalkan gerakan #MZB365 atau “Maaf Zahir Batin Hari-Hari” bagi tujuan melawan ungkapan kebencian etnik serta menggalakkan amalan memohon dan memberi maaf setiap hari.
Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian dalam kempen gerakan itu ialah Projek SAMA, ABIM dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH). – 7 April, 2024