KUALA LUMPUR – Lapan lagi individu diberkas, dipercayai ada kaitan dengan lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, baru-baru ini.
Lapan individu berkenaan ditahan dalam operasi khas di sekitar Johor dan ibu negara, pada Khamis lalu dan semalam.
Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Scoop berkata, berdasarkan siasatan awal, tiada antara lapan yang ditahan itu memegang pasport kerakyatan Israel seperti kes lelaki yang ditahan itu apabila memiliki dua pasport iaitu Israel dan Perancis.
Katanya, daripada lapan yang ditahan itu, dua merupakan warga Turkiye, salah seorangnya memegang dua pasport dari Poland dan Amerika Syarikat, manakala seorang lagi warga Georgia.
“Ya, lapan lagi ditahan bagi membantu siasatan lanjut, terutama mengenai bagaimana warga Israel itu dapat masuk ke dalam negara ini dan pemilikan senjata api,” katanya.
Katanya, kesemua mereka direman seminggu bagi membantu siasatan.
Penahanan itu menjadikan seramai 16 individu termasuk lelaki warga Israel berkenaan ditahan menerusi operasi khas membabitkan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur, JSJ Komersial dan Cawangan Khas.
Walau bagaimanapun Razarudin enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada lapan yang ditahan itu melibatkan penjawat awam khususnya yang berkaitan dengan urusan keluar masuk negara.
Pada 4 April lalu, Razarudin mengesahkan polis memberkas empat lagi individu yang dikatakan mempunyai kaitan dalam kes sama.
Keempat-empat suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita itu ditahan di sekitar Skudai dan Gelang Patah, Johor bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kesemua mereka berperanan membantu suspek dalam urusan menyeludup senjata api ke negara ini.
Terdahulu, media melaporkan, suspek utama dikenali sebagai Shalom Avitan dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.
Enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan dalam beg miliknya.
Susulan itu, polis menahan tiga warga Malaysia termasuk pasangan suami isteri disyaki membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel terbabit di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor.
Polis sudah membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 12 Akta Pasport 1966. – 6 April, 2024