‘Emosi saya sering terganggu’, M Jamil akui adakala cepat putus asa sejak hidap angin ahmar 6 tahun lalu

Bagaimanapun, M Jamil bersyukur apabila Fahmi Fadzil meluangkan masa menjenguk, bertanya khabar dan mengambil berat mengenai keadaannya

3:49 PM MYT

 

PUCHONG – Penerbit, pengarah dan pelakon, M Jamil yang juga anak kepada seniwati Datuk Sarimah Ahmad mengakui emosinya seringkali terganggu sejak dia menghidap penyakit angin ahmar separuh badan kira-kira enam tahun lalu.

Menurutnya, penyakit itu menyebabkannya mengalami kesukaran bercakap dan terpaksa berkerusi roda.

Ketika diwawancara Scoop, M Jamil berkata, bagi golongan sepertinya, kebanyakan punca yang menyebabkan penyakit itu berada pada keadaan paling teruk adalah stres.

“Lebih-lebih lagi kalau tiada orang datang melawat. Kita rasa boring (bosan) dan sakit jadi lebih teruk. Stres saya pun jadi lebih teruk juga.

“Bertambah boring bila saya tak mampu untuk buat kerja. Setakat menulis skrip itu adalah. Kadang-kadang tolong orang yang nak tanya pasal kerja pengarahan,” katanya yang mengakui sudah enam tahun tidak menerima sebarang tawaran kerja berkaitan kerja seni filem.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil meluangkan masa menjenguk keadaan terkini M Jamil di kediamannya sempena Program Ziarah Seni Madani 2024 di sini, hari ini. – Gambar Ellyna Ali/Scoop, 5 April, 2024

Bagaimanapun, M Jamil atau nama sebenarnya, Mohamad Jamil Zulkifli, 59, memanjatkan kesyukuran apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sempat meluangkan masa menjenguk, bertanya khabar dan mengambil berat mengenai keadaannya.

“Program seperti ini bagi saya, harus diteruskan sampai bila-bila dan untuk jangka masa panjang, bantuan terus-menerus diberikan kepada kami.

“Sebab memang kami perlukan bantuan. Nak buat kerja pun payah. Buat kerja jugalah. Bukan tak buat. Kerja yang menggunakan akal dan tangan, buat. Kerja guna komputer buat. Tapi, berapa sajalah dapat dengan keadaan fizikal terhad.

“Dan, YB Fahmi pun ada memberitahu saya bahawa dia ingin membantu menyalurkan kos rawatan selama setahun. Sebab, kos rawatan saya setiap bulan pun hampir RM2,000,” katanya ketika ditemui di Program Ziarah Seni Madani 2024 di kediamannya di sini, hari ini.

Menurut M Jamil, dia terbuka jika ada mana-mana pihak mahu memberikannya peluang bekerja dari rumah yang bersesuaian dengan keadan fizikalnya.

“Kalau sesuai dan bagus, boleh juga. Sebab fikiran saya masih okay. Cuma fizikal, tak bolehlah. Tapi, dari segi idea, insya-Allah.

“Apa yang saya pentingkan adalah anak-anak saya yang masih membesar dan masih bersekolah,” katanya yang turut mendapat sedikit bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak zakat.

Biarpun kini pergerakannya terbatas serta percakapannya kurang jelas, M Jamil berkata, dia masih meletakkan harapan untuk sembuh sepenuhnya dan masih berikhtiar ke arah itu.

“Harapan itu masih ada. Ikhtiar tak pernah putus. Bukan setakat mengambil suplemen, tetapi saya juga cuba gunakan ubat tradsional termasuk berurut. Tapi, adakalanya saya akui saya selalu lemah semangat. Kadang-kadang juga cepat mengalah.

“Namun, apa yang membuatkan saya bertahan adalah apabila memikirkan dua orang anak saya yang berusia tujuh tahun dan sembilan tahun dengan ibu mereka,” katanya yang turut memiliki penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Mengulas mengenai kedatangan Aidilfitri tahun ini yang akan disambut beberapa hari lagi, M Jamil berkata, sejak menggunakan kerusi roda, semangat untuk dia beraya semakin kurang.

“Tapi, adalah juga buat persiapan sikit-sikit seperti menyediakan kuih dan menyiapkan baju raya. Yang penting anak-anak dapat menyambut raya. Kita ini apa lagi nak sambut. Dapat hidup pun, dah kira okay,” katanya.

Ditanya adakah dia turut menyambut raya bersama Sarimah, beliau berkata, keadaan dirinya menyukarkannya untuk bergerak bagi menjenguk ibunya itu.

“Ibu saya pun tak berapa sihat,” katanya. – 5 April, 2024

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Gopeng says goodbye to beloved 111-year-old soy sauce factory Hup Teck

For over a century, Uncle Tong’s family kept culinary heritage alive with all-natural, sun-fermented soy sauce crafted in age-old earthen pots, a tradition which started in 1914

Related