KUALA LUMPUR – Ketua Umno bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah melahirkan rasa sedih dan terkilan susulan penahanan Dr Muhamad Akmal Saleh di Kota Kinabalu hari ini.
Menurutnya, selaku Ketua Umno bahagian berkenaan, beliau secara terbuka menyatakan pendirian berdiri teguh bersama Ketua Pemuda Umno itu dalam isu boikot kedai serbaneka KK Mart.
Armand juga menyatakan Umno Subang turut bersama-sama Akmal dalam isu itu.
“Kita boikot secara matang dan tidak pernah keluarkan kalam (arahan) untuk boikot emosi dengan membaling molotov cocktail…tak pernah.
“Kita gunakan kuasa pembeli. Kita guna kuasa ekonomi bukan kuasa emosi,’’ katanya menerusi klip video yang dimuatnaik dalam Facebooknya hari ini.
Akmal Saleh ditahan di Kota Kinabalu pagi ini sebaik tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Beliau berada di Sabah untuk menghadiri Program Kembara Ramadan bersama Pemuda Umno di negeri itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan dilakukan terhadap Akmal mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. – 5 April, 2024