KUALA LUMPUR – Kesatuan-kesatuan sekerja memuji usaha Menteri Sumber Manusia, Steven Sim atas peranannya dalam mendapatkan bantuan Hari Raya untuk pekerja bank, walaupun mendapat kritikan daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube).
Ketua Eksekutif Kesatuan Pekerja Bank Sarawak, Andre Lo merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bank Komersial Sarawak (SCBA) dan bank ahlinya, serta Sim, atas komitmen mereka untuk memperbaiki keadaan pekerja.
Dalam kenyataannya, Lo berkata, keputusan itu dicapai selepas SCBA dan Kesatuan Sekerja Perbankan Sabah (SBEU) mencapai perjanjian berhubung perkara itu, bahawa pekerja bank – tidak kira agama – akan menerima bantuan Hari Raya bagi tahun 2024.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) turut memuji Sim kerana peranannya dalam menjadikan perjanjian mengenai bayaran itu dicapai.
Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mengalu-alukan keputusan untuk memberikan bantuan perayaan kepada pekerja bank, sekali gus mewujudkan hubungan positif antara pekerja dan majikan.
“Ini adalah perkembangan yang signifikan dan langkah membina dalam meningkatkan kebajikan para pekerja di seluruh negara,” katanya.
Perkembangan itu susulan laporan banyak bank telah mula membuat pembayaran bantuan perayaan satu bulan gaji untuk pekerja dalam kategori bukan perkeranian dan 0.5 bulan untuk pekerja-pekerja kategori perkeranian serta gred khas.
Ia selepas perbincangan antara pengurusan bank dengan Sim, yang memperlihatkan komitmen untuk menambah baik keperluan golongan pekerja di negara ini sejak pelantikannya pada Disember tahun lepas.
Shafie turut menekankan peranan penting yang dimainkan oleh Sim dalam menyelesaikan kebuntuan yang menyelubungi bayaran bantuan perayaan.
“Campur tangan Menteri bukan sahaja membantu memberikan penyelesaian tetapi juga menekankan pentingnya menyokong kepentingan pekerja,’’ kata Shafie.
Uni MLC optimis bayaran bantuan perayaan itu akan menaikkan semangat pekerja-pekerja bank dalam meraikan sambutan Aidilfitri minggu depan.
Bagaimanapun, di sebalik keputusan tersebut, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menekankan kepada penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu-isu melibatkan hak pekerja.
“Meskipun bonus ini memberikan kelegaan dan kegembiraan segera kepada pekerja, adalah penting untuk terus berusaha ke atas faedah yang mampan dan layanan adil,’’ kata presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Nube sebelum ini mendakwa terdapat percanggahan dalam ‘Bayaran Perayaan Ex-Gratia 2024 sekali bayar (“one off”)”.
Nube, dalam tulisan di blognya, mendakwa lebih 90% daripada ahli menerima hanya 50% daripada bantuan perayaan dan membangkitkan persoalan mengenai keadilan dan kesaksamaan. – 4 April, 2024