KUALA LUMPUR — Bukan bergaduh dan tidak juga disebabkan orang ketiga, namun penyanyi Sufian Suhaimi mengakui hubungan dengan kekasihnya, Rania Al Sadat sudah berakhir disebabkan mereka tidak sehaluan.
Ia sekali gus melenyapkan impiannya untuk mendirikan rumah tangga dan mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini sepertimana dirancang.
Sufian ketika diwawancara Scoop berkata, memang tiada sebarang isu antara dia dengan Rania, bahkan mereka juga tidak pernah bergaduh atau berselisih pendapat.
“Cuma, kami berpendapat perkahwinan bukanlah suatu perkara perlu dilakukan dengan tergesa-gesa. Bukan kita nak cakap kami buat keputusan (berkawan dan merisik) yang tergesa-gesa sebelum ini.
“Tapi, bila makin dekat dengan tarikh (pernikahan), kami kemudian ambil keputusan terus berbincang mengenai kehidupan masing-masing.
“Kami juga cuba tengok semula perkara yang kami lakukan atau inginkan, sama ada ia berikan keselesaan antara satu sama lain atau sebaliknya.
“Jadi, selepas bincang beberapa kali, kami akhirnya rasa kami perlu ambil tindakan untuk berundur kerana sama-sama menyedari ada benda tidak sesuai antara kami,” katanya.
Dia yang menghantar rombongon merisik kepada keluarga Rania pada Oktober lalu, mengakui bekas kekasihnya itu sudah memulangkan cincin risik pada minggu kedua Ramadan.
Penyanyi kelahiran Segamat Johor yang terkenal dengan lagu Terakhir dan Menggenggam Bahagia itu bagaimanapun menafikan bahawa tindakannya menghantar rombongan untuk merisik Rania dilakukan terlalu awal.
“Saya tak rasa hubungan merisik terlalu awal. Bukan terdesak. Merisik ni sebetulnya dilakukan untuk mengenali dia dan keluarganya.
“Saya sangat bersyukur dapat kenal dia (Rania). Saya sangat menghormati dia. Dia sangat baik dan keluarga dia pun baik. Sampai hari ni pun masih baik dengan saya. Tiada sedikit penyesalan apabila berakhirnya hubungan kami.
“Malah, kami sentiasa mengharapkan kebahagian dalam diri masing-masing. Jodoh di tangan Tuhan. Siapa tahu, mungkin kami akan bahagia bersama-sama juga,” katanya.
Mengakui reda dengan apa yang berlaku, Sufian bagaimanapun percaya ada hikmah di sebalik keputusan itu dan dia tidak pernah serik untuk bercinta.
“Selepas hubungan kami putus, ibu bapa kami dah jadi macam kawan baik pula dan melihat perkara itu, hati saya tenang,” katanya. – 4 April, 2024