KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming menarik perhatian netizen apabila berkongsi rakaman video meraikan kegembiraan pekerjanya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menerusi video berdurasi satu minit 44 saat yang dikongsi di aplikasi X, Khairul Amin Kamarulzaman atau popular dengan panggilan Khairul Aming membawa kesemua 100 pekerjanya untuk membeli baju raya.
“Semalam kita tutup kedua-dua kilang Nyet untuk meraikan 100 orang staf. Kita bawa semua shopping baju raya.
“Staf aku makin ramai nak dekat 100 orang, jadi penuh satu kedai tu ye. Alhamdulillah mereka sangat happy.
“Macam biasa semua orang bebas, boleh beli baju tak perlu sedondon, beli je ikut warna masing-masing suka. Corak tudung semua pun ikut selera masing-masing,” katanya.
Dalam video itu, jelas kelihatan riak wajah gembira semua pekerjanya dibawa ke sebuah gedung pakaian terkenal.
Selepas itu, Khairul Aming dilihat membawa semua pekerjanya membeli barang dapur untuk persiapan menyambut 1 Syawal dengan keluarga masing-masing.
“Seronok tengok mereka shopping. Ada beli kicap, beras, ada beli ayam nak buat rendang.
“Alhamdulillah semua pun happy, settle barang dapur untuk famili mereka buat preparation raya nanti,” katanya.
Saat paling menggembirakan pekerjanya apabila usahawan tersebut memberikan bonus raya sebagai menghargai usaha dan penat lelah mereka membangunkan jenama produknya itu.
“Kita kongsi rezeki dengan mereka dengan harapan duit raya ini dapat membantu mereka buat persediaan raya dengan famili,” katanya.
Selepas itu, usahawan berusia 31 tahun itu meraikan kesemua pekerjanya dengan membawa mereka berbuka puasa di sebuah hotel.
Malah, Khairul Aming turut bercadang membawa kesemua pekerjanya bercuti selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Rata-rata memuji Khairulaming kerana sentiasa menjaga kebajikan pekerjanya.
“Khairul Aming buat video appreciation staf rileks je, taka da nangis-nangis lepas tu ulang-ulang ‘kita nak bagi bonus tiga bulan gaji, kita nak tolong famili kita’. Sempoi je tak payah nak buat video cringe,” kata @Asterania_.
“Soft je tengok Khairul Aming belanja staf. Kalau tengok video H** tu macam langit dengan bumi je. Kami perlukan lebih banyak video macam Khairul Aming, jika ikhlas nak belanja,” kata @cicakkungfu.
Dalam pada itu, ruangan komen turut meriah dengan komen lucu netizen yang berseloroh mahu bekerja di kilangnya.
“Ada jawatan kosong lagi tak? Saya sanggup pindah Kelantan,” kata @levibubbles.
“Saya ada law degree. Tapi pandai masak. Nak minta kerja dengan KA boleh?” kata @manemaunya.
“KA ada nak hire data analyst tak? Book saya dulu, tengah belajar lagi ni,” kata @naufalhaziq. – 2 April, 2024