KUALA LUMPUR – Video muzik lagu Love Raya milik usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman terus mengundang ketidakpuasan hati ramai, dengan rata-rata menyifatkannya melampaui batas kesopanan dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam.
Susulan kemunculan video itu, seorang individu yang juga pengasas produk makanan dikenali Afiq Nordin membuat laporan polis dipercayai di Balai Polis Melaka Tengah atas alasan rakaman terbabit melanggar prinsip kelima rukun negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Malah, menerusi laporan dibuatnya semalam pada kira-kira jam 4 petang itu, Afiq mengatakan, video berkenaan mengganggu gugat kesucian Islam sempena Ramadan.
“Beliau (Aliff Syukri) juga pernah memuat naik beberapa video yang mengandungi unsur sensitiviti Islam dan masih lagi ditayangkan di laman Youtube.
“Tujuan saya membuat laporan adalah untuk pihak berkuasa mengambil tindakan kepada beliau…” katanya menerusi Facebook.
Menerusi foto dikongsikannya ketika dia sedang membuat laporan, Afiq berkata, keputusannya itu juga sebagai peringatan untuk diri sendiri agar sentiasa berjaga-jaga dalam setiap tindakan.
Katanya, ia sebagai mengingatkannya supaya setiap hantaran sama ada dari segi penulisan mahupun video, tidak melanggar sensitiviti berkaitan apa jua agama, bangsa dan kaum.

Menerusi video dikeluarkan Aliff Syukri sempena Aidilfitri berkenaan, ia menampilkan beliau sedang menyanyi di tengah ruang sambil dikelilingi sekumpulan penari berperwatakan lembut dengan mengenakan pakaian warna berbeza yang sendat.
Lebih membuatkan penonton ‘sakit mata’ apabila dua daripada penari itu yang berada di hadapan menari dalam gaya ‘menggeletis’ seperti ‘sotong’.
Beberapa hari sebelum itu, Aliff Syukri berkongsi di sebalik layar pembikinan video muzik terbabit yang bukan sahaja mengejutkan dan ditempelak ramai, malah dilabel ‘memalukan’.
Petikan video muzik berdurasi 1 minit 25 saat dikongsikan di media sosial itu, memaparkan Aliff Syukri berendam di dalam jakuzi dipenuhi buih sabun dengan mengenakan ‘singlet’ dan seperti memakai seluar pendek, selain beraksi menyanyi dengan memegang kepala paip pemanas air mandi sebagai mikrofon.
Namun, Aliff Syukri kemudian tampil menerusi video di Instagram untuk memohon maaf mengenai penghasilan video muzik itu selepas ditegur ibunya.
Ujarnya, beliau menuruti permintaan ibunya, Rozita Ibrahim dengan memadamkan klip video kontroversi itu di semua platform media sosialnya. – 2 April, 2024