RoS lulus pindaan perlembagaan Bersatu

Langkah seterusnya ialah mengosongkan kerusi 6 Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan PRK peringkat Parlimen diadakan

4:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Parti Bersatu, sekali gus membolehkan parti berkenaan mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika memaklumkan menerusi Aplikasi X berkata, langkah seterusnya ialah mengosongkan kerusi terbabit bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) peringkat Parlimen diadakan.

“Alhamdulillah RoS telah lulus permohonan pindaan perlembagaan BERSATU yang membolehkan kami mengosongkan kerusi 6 Ahli Parlimen yang telah menyokong DS Anwar Ibrahim. Langkah seterusnya mengosongkan kerusi-kerusi mereka ini untuk Pilihan Raya Kecil peringkat Parlimen,’’ katanya menerusi hantaran tersebut.

Menerusi hantaran itu, Wan Fayhsal turut memuatnaik surat daripada RoS yang menyatakan undang-undang baharu itu boleh dijalankan mulai 1 April 2024.

“Peruntukan undang-undang baharu ini adalah bagi menggantikan undang-undang lama seperti tarikh kuatkuasa di atas,’’ demikian kandungan surat daripada RoS itu.

Ia dibuat di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Seksyen 11) dan ditandangani Pendaftaran Pertubuhan, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan keahlian Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dilucutkan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini telah menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar.

Mereka ialah Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Ahli Parlimen Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Terbaharu, pada 6 Mac lalu, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau yang juga Adun Selat Klang, memaklumkan, keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berulang kali memaklumkan perlembagaan parti itu dipinda bagi membolehkan semua pihak yang mengkhianati Bersatu dilucutkan keahlian dan kerusi mereka dikosongkan. – 2 April, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related