KUALA LUMPUR – Seorang lagi pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan ditahan kerana disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kerja penyelenggaraan kapal bernilai RM1.18 juta.
Perintah reman selama sehari bermula hari ini ke atas suspek berusia dalam lingkungan 40-an, dikeluarkan Majistret Siti Noor Hasliza Md Ali, selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar Kedah, pagi tadi.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di Pejabat SPRM Kedah ketika hadir untuk memberi keterangan.
Semalam, SPRM menahan reman empat individu termasuk seorang pemilik syarikat dan seorang pengarah logistik penguat kuasa kerana disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kerja penyelenggaraan kapal agensi penguat kuasa antara Julai hingga November 2020.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 27 Mac, 2024