Selepas Sarawak, pemimpin Sabah pula gesa pendaftaran Padu dihentikan

Pendaftaran Padu yang menyasarkan kira-kira 20 juta rakyat bukan saja membimbangkan tapi pada masa sama membingungkan

2:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas Sarawak, kini pemimpin Sabah pula menggesa Kementerian Ekonomi menghentikan seketika pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) dan membuat penilaian semula terhadap pelaksanaan program tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan berkata, beliau mengambil berat gesaan Kerajaan Persekutuan untuk pendaftaran menyeluruh sistem Padu, terutama apabila data peribadi dianggap lebih penting berbanding sebelum ini.

“Saya juga kurang selesa dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai isu ini yang dilihat seolah-olah memaksa orang ramai.

“Oleh itu, saya menggesa menteri (Rafizi) menghentikan seketika (pendaftaran Padu) dan menilai semula strategi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pendaftaran Padu yang menyasarkan kira-kira 20 juta rakyat bukan saja membimbangkan tapi pada masa sama membingungkan.

“Apakah sebab di sebalik (tindakan) tergesa-gesa ini? Adakah ia tidak akan mendedahkan sistem ini kepada kemungkinan kesan terhadap ketepatan dan keselamatan data?

“Sejauh manakah persediaan kerajaan untuk memastikan data akan diurus dan dilindungi dengan selamat dengan kemasukan data peribadi yang masuk ke dalam sistem dalam masa yang singkat?

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, keadaan itu mungkin kerana gangguan terhadap data yang diperlukan Padu, antaranya mengenai apa keperluan kerajaan untuk mengambil tahu jumlah hutang rakyat dan bagaimana ia relevan dengan kelayakan mendapat subsidi.

Malah, katanya, terdapat juga soalan berkaitan seperti siapa yang membangunkan Padu, dan bagaimanakah data akan dilindungi dan apakah yang akan berlaku jika data itu bocor.

Menurut Jeffrey, terdapat persoalan berkaitan seperti siapa yang membangunkan Padu, dan bagaimanakah data akan dilindungi dan apakah yang akan berlaku jika data itu bocor. – Azim Rahman/Scoop, 25 Mac, 2024

“Sebagai negara kelapan di dunia yang paling banyak ‘pelanggaran’ data, saya fikir Padu adalah perkara terakhir yang perlu diperkenalkan oleh kerajaan ketika ini.

“Sejarah menunjukkan tiada sistem data yang tidak dapat ditembusi, malah pangkalan data kakitangan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini digodam,” katanya.

Susulan itu, beliau bersetuju dengan pandangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan tidak ada perbezaan antara Padu dengan sistem sedia ada seperti e-Kasih atau Skim Tunai Rahmah.

Malah, beliau juga tidak melihat keperluan untuk Padu atau bagaimana ia mewajarkan pengumpulan data peribadi secara meluas melangkaui kebiasaan yang diperlukan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau sistem kebajikan.

“Kewajipan kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyatnya, bukan untuk menyelidiki perkara tidak perlu dalam kehidupan peribadi mereka.

“Perlindungan privasi individu mesti seimbang dengan manfaat pengumpulan data,” katanya.

Jeffrey berkata, jika kerajaan tetap mahu meneruskan pendaftaran Padu, beliau mencadangkan agar platform yang digunakan diubah suai dan ditambah baik tanpa menimbulkan kebimbangan rakyat.

Katanya, kerajaan tidak perlu mengugut rakyat dengan mengatakan jika mereka tidak mendaftar, mereka tidak akan mendapat subsidi kerana taktik berkenaan tidak dapat meyakinkan orang ramai dalam memberikan kerjasama.

“Secara peribadi saya mencadangkan Padu menggunakan pangkalan data yang mereka sudah ada, bantu rakyat untuk mengurangkan kebimbangan privasi mereka dan lebih penting jangan bebankan rakyat,” katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta sistem Padu kerana mendaftar dengan program tersebut ibarat ‘menelanjangkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

Abdul Karim berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini, berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu.

Susulan itu, Rafizi memaklumkan pegawai kementeriannya akan bertemu dengan wakil kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu pendaftaran Padu yang ditangguhkan di negeri berkenaan. – 25 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Rosmah off the hook as court drops 17 money laundering, tax evasion charges

High court accepts application made on grounds that charges were 'defective and failed to disclose the essential elements of the alleged offences'

Malaysia’s new social media regulatory framework: What you need to know

New rules aim to curb cybercrime and online harm, individual users not affected

‘I wanted to come back with a bang’: Nazri Aziz on MAGA controversy

The Former Malaysian ambassador to the US brushed off criticism over his appearance at a Trump rally, reveals plans to support PM Anwar in next election

Related